SHAH ALAM, 11 MEI: Dilahirkan tanpa rahim, namun tetap bergelar ibu kepada dua anak. Itulah realiti hidup Wani Ardy yang membuktikan kasih seorang ibu tidak pernah ditentukan oleh kemampuan melahirkan anak.
Wani Ardy atau nama sebenarnya Nur Syazwani Abdul Rahim, 42, mula merasakan dirinya berbeza daripada rakan sebaya ketika berusia 17 tahun.
“Saya hanya berfikir mungkin haid saya lambat sedikit, sehinggalah pada tingkatan lima masih tiada sebarang tanda,” katanya.
Penjelasan doktor bahawa rahim tidak ditemui dalam tubuhnya membuatkan beliau sukar memahami keadaan sebenar yang dialami.
Walaupun menjalani pemeriksaan lanjut selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pengasas MRKH Malaysia itu berkata beliau masih hidup dalam tanda tanya sehingga awal usia 20-an.
Seiring dengan perkembangan internet, Wani akhirnya menemukan jawapan apabila kondisi dialaminya dikenal pasti sebagai sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH).
Dalam masa sama, beliau turut mengenali kumpulan sokongan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Beautiful You MRKH Foundation, yang banyak membantunya memahami keadaan berkenaan dengan lebih mendalam.
“Kumpulan sokongan di Amerika Syarikat itu menjadi inspirasi kepada saya untuk menubuhkan kumpulan sokongan di Malaysia,” katanya.
Wani Ardy merupakan pengasas dan Presiden MRKH Malaysia, sebuah platform sokongan serta advokasi bagi individu yang dilahirkan dengan sindrom MRKH.
Beliau aktif memperjuangkan kesedaran mengenai sindrom berkenaan serta bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikan berkaitan MRKH sejak 2017.
Kekuatan Bermula Dari Diri
Beliau yang juga aktif dalam bidang seni mengakui kekuatan utama untuk meneruskan kehidupan datang daripada dirinya sendiri.
“Saya tidak bergantung kepada sesiapa kerana merasakan orang lain sukar memahami apa yang saya lalui,” katanya.
Menurutnya, antara cabaran terbesar yang pernah dilalui ialah berdepan tanggapan masyarakat yang sering mengaitkan wanita dengan kemampuan melahirkan anak.
Namun, beliau memilih untuk tidak menjadikan pandangan orang lain sebagai penghalang untuk meneruskan kehidupan.
“Setiap kali seseorang memanggil saya ‘khunsa’, saya akan membetulkannya, dan pada masa sama mengambil peluang untuk memberi penjelasan bahawa khunsa itu juga merupakan jenis MRKH,” katanya.

Apabila mula aktif memperjuangkan kesedaran berkaitan MRKH, Wani menerima sokongan tidak disangka-sangka selepas bertemu Prof. Datin Dr. Ani Emilia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Beliau benar-benar menjaga dan banyak menyokong saya dalam usaha advokasi sejak usia 30 tahun hingga sekarang,” katanya.
Pelindung Jiwa Kecil
Sebagai sebahagian daripada kelompok 1 dalam 5,000 wanita di seluruh dunia yang menghidap MRKH, Wani tidak membiarkan keadaan itu merencatkan impiannya untuk bergelar ibu.“Saya melihat tujuan saya diciptakan di dunia ini adalah untuk merumahkan anak-anak yang memerlukan rumah dan keluarga,” katanya.
Kini, kehidupannya diisi dengan kehadiran dua anak, Ikhlas, 14, dan Indah, 4, yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang.Wanita yang dibesarkan di Subang itu berkata, kedua-dua anaknya hadir dalam hidupnya secara tidak disangka apabila dia menerima panggilan daripada kenalan memaklumkan ibu kandung bayi berkenaan tidak mampu menjaga mereka.
“Ikhlas saya dapat panggilan dua hari sebelum dia lahir manakala Indah pula, sudah selamat dilahirkan baru saya dapat panggilan,” katanya.Wani berkata, beliau tidak pernah berhenti menyimpan harapan untuk memiliki seorang anak perempuan.
Setiap malam sepanjang Ramadan, beliau tidak putus berdoa kepada Allah SWT.“Dalam masa yang sama, setelah sahaja Ikhlas berumur 10 tahun dan saya masih tiada peluang untuk menjaga bayi perempuan, saya akan berhenti,” katanya.
“Selang beberapa bulan setelah Ramadan, saya terus dapat Indah. Betul-betul semasa Ikhlas cecah 10 tahun,” katanya lagi.

Penulis buku The Art of Letting Go(D) itu mengakui perjalanan menjadi ibu tanpa melalui proses melahirkan anak menuntut pengorbanan besar.Katanya, beliau perlu menjalani proses induced lactation bagi menghasilkan susu untuk menyusukan kedua-dua anaknya sejak lahir.
“Saya sendiri rasa banyak kesan sampingan selepas mengambil ubat dan suplemen yang boleh mencecah lebih 10 biji sehari selama hampir dua tahun.
“Dengan bantuan doktor pakar, proses itu lebih mudah berbanding berjuang seorang diri,” katanya.
Sementara itu, Wani berkata proses pengambilan anak angkat pada masa kini jauh lebih mudah berbanding dahulu.“Semasa menguruskan Indah, saya menyiapkan proses dokumentasi dalam masa satu hingga dua hari sahaja,”katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui proses pengambilan anak angkat tetap mencabar dari segi mental dan emosi.
“Saya perlu tempuh turun naik mahkamah serta berurusan dengan Pesuruhjaya Sumpah, mental dan emosi yang turut perlu dijaga,” katanya.
Percaya Aturan Tuhan
Penyanyi Lampu Jalan itu memilih untuk bersikap terbuka dalam menjelaskan kondisinya kepada anak-anak sejak mereka masih kecil.“Saya sering jelaskan bahawa mereka bukan datang dari rahim saya sejak mereka masih belum boleh bercakap lagi,” katanya.
Menurutnya, cara penyampaian memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman kanak-kanak.
Tambahnya, kehadiran dua anak angkat dalam hidupnya yang berlaku secara tiba-tiba dianggap sebagai satu petunjuk dan amanah daripada Allah SWT.
“Saya dapat Indah ini kerana Allah rasa saya sudah bersedia. Siapa saya untuk menafikan pemberian-Nya?“Allah akan memberikan kepada saya apabila saya sudah bersedia, jadi saya percaya ia akan datang pada waktu yang tepat,” katanya lagi.
Jika diberi peluang untuk memutar semula masa, penulis puisi itu berkata beliau tetap mahu menjadi dirinya yang hari ini.“Saya rasa saya adalah saya hari ini kerana kondisi saya,” katanya.
“Saya sudah ditanam dengan kepercayaan bahawa setiap yang Allah tentukan pasti ada sebab yang terbaik,” katanya.





