KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pemberian bayaran pendahuluan sebanyak RM200 sehektar di bawah Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dapat meringankan beban kewangan pesawah serta memastikan kelancaran persediaan memulakan penanaman padi musim 1/2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu membolehkan pesawah menerima bayaran pendahuluan lebih awal, berbanding perlu mengeluarkan modal sendiri terlebih dahulu.
Beliau berkata sebelum ini, pesawah hanya boleh membuat tuntutan IPKP selepas kerja-kerja pembajakan selesai.
“Pengumuman ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan mengambil kira pandangan pesawah di peringkat akar umbi.
“Kerajaan juga komited untuk terus menambah baik pendekatan sedia ada agar kebajikan pesawah sentiasa terpelihara, selaras dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju membayar wang pendahuluan RM200 sehektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.
Menurut Anwar, inisiatif yang dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau telah mengarahkan pihak kementerian untuk memuktamadkan segera proses pelaksanaan bayaran tersebut agar pendahuluan dapat disalurkan tanpa kelewatan, seterusnya membantu pesawah membuat persiapan awal musim dengan lebih baik.
-- BERNAMA






