10,677 warga PDRM terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025

5 Mei 2026, 10:49 AM
10,677 warga PDRM terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025
10,677 warga PDRM terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Seramai 10,677 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, pengorbanan dan kesetiaan mereka.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penerima terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah serta pegawai awam yang bertugas di pelbagai jabatan.

Beliau berkata kuota lapan peratus yang ditetapkan oleh kerajaan untuk anugerah itu menjadikan saringan penerima amat kompetitif.

“Berdasarkan kuota itu, 1,090 pegawai kanan polis, 8,612 pegawai rendah polis dan 975 pegawai awam dipilih,” katanya pada Majlis APC 2025 PDRM di Bukit Aman hari ini.

Antara penerima Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Azman Abd Razak.

Mohd Khalid berkata kriteria pemilihan diperketat dengan markah prestasi minimum dinaikkan daripada 85 kepada 90 peratus.

Beliau berkata penilaian turut merangkumi disiplin, rekod kehadiran, tahap kesihatan termasuk Indeks Jisim Tubuh (BMI) serta penglibatan dalam aktiviti luar, selaras usaha memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi.

Katanya integriti kekal sebagai teras utama yang tidak boleh dikompromi dalam perkhidmatan dan kecemerlangan sebenar dinilai menerusi tahap kepuasan serta keyakinan masyarakat terhadap pasukan.

Mohd Khalid berkata setiap penerima memperoleh sijil APC dan insentif RM1,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.