SHAH ALAM, 5 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan pantas susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, termasuk mengaktifkan langkah kawalan serta tindakan terhadap premis yang disyaki menjadi punca pencemaran.
Langkah pemulihan turut dilaksanakan dengan penggunaan karbon teraktif serta pemantauan intensif, di samping mitigasi melalui pengepaman air Projek Skim Jaminan Air Selangor (SJAM) bagi memastikan bekalan tidak terjejas.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pencemaran bau abnormal sehingga dua ton dikesan di Sungai Semenyih kira-kira jam 10.30 malam pada 3 Mei lalu, sekali gus mendorong pengaktifan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.
Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan risiko terhadap operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi di hilir.
“Hasil siasatan bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati sebuah premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Mahkota Beranang disyaki melepaskan bahan pencemaran.
“Pemeriksaan mendapati pelepasan berwarna yang disyaki disalurkan terus ke sistem perparitan sebelum memasuki Sungai Kabul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata premis berkenaan didapati memiliki Lesen Air Kembalian di bawah dasar Zero Discharge Policy (ZDP), namun gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan.
Susulan itu, LUAS mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terlibat untuk menghentikan pelepasan serta-merta selain melaksanakan kerja pembersihan dan kawalan di lokasi berkaitan.
“Pensampelan telah dilakukan oleh LUAS di lokasi-lokasi terlibat di kawasan premis dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut.
“LUAS membuka Kertas Siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air, dan Seksyen 59 bagi kesalahan tidak mematuhi syarat lesen,” katanya.
Sehingga jam 8 malam semalam, keadaan sungai dilaporkan tiada lagi bau abnormal dikesan di Sungai Semenyih dan Sungai Kabul manakala operasi SJAM turut ditamatkan selepas keadaan kembali terkawal.
Dalam pada itu, Jamaliah menegaskan Kerajaan Negeri, LUAS dan agensi berkaitan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja atau cuai menyebabkan pencemaran sumber air.











