SUKMA 2026: Kunjungan hormat ke Johor, Selangor serah jemputan rasmi

5 Mei 2026, 8:18 AM
SUKMA 2026: Kunjungan hormat ke Johor, Selangor serah jemputan rasmi
SUKMA 2026: Kunjungan hormat ke Johor, Selangor serah jemputan rasmi
SUKMA 2026: Kunjungan hormat ke Johor, Selangor serah jemputan rasmi

SHAH ALAM, 5 MEI: Delegasi Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 meneruskan siri kunjungan hormat ke zon selatan bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada negeri yang bakal menyertai temasya itu.

Kunjungan tersebut diketuai EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi yang mengadakan pertemuan dengan EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri.

Menurut Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor, lawatan ke setiap negeri adalah satu tradisi setiap kali penganjuran temasya berkenaan.

“Kunjungan ini merupakan salah satu tradisi bersempena penganjuran SUKMA di mana wakil kerajaan dari negeri tuan rumah berkunjung dan mengemukakan jemputan kepada wakil kerajaan negeri yang bakal menyertai temasya sukan ini.

“Dalam pertemuan ini, saya menyampaikan jemputan rasmi bagi menyertai SUKMA XXII Selangor 2026 selain menyerahkan surat tanda terima kasih serta pengesahan penyertaan kepada Kerajaan Negeri Johor,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kos penganjuran SUKMA 2026 dikurangkan hampir 50 peratus kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta berbanding peruntukan asal RM100 juta oleh Kerajaan Selangor sebelum ini.

Delegasi Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diketuai EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi mengadakan pertemuan dengan EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri pada 4 Mei 2026. Foto Facebook Najwan Halimi

Menurutnya, pendekatan itu selaras usaha mengawal perbelanjaan tanpa menjejaskan fokus utama iaitu pembangunan atlet dan pencarian bakat baharu selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pada 20 April lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat mengambil kira kos tinggi penganjuran temasya dwitahunan berkenaan dalam keadaan ekonomi semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari di Istana Bukit Kayangan pada 23 April lalu bagi membincangkan persiapan SUKMA 2026.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap hasil pertemuan itu serta berpuas hati dengan pendekatan berjimat yang diambil pihak penganjur.

SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang manakala Para SUKMA diadakan dari 15 hingga 20 September 2026.

Sebanyak 474 acara melibatkan 37 sukan dipertandingkan di sembilan daerah dengan 52 venue, manakala Para SUKMA membabitkan 10 sukan dan 316 acara di Petaling dan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.