Projek KSSA ikut jadual, tiada kenaikan kos setakat ini

5 Mei 2026, 7:21 AM
Projek KSSA ikut jadual, tiada kenaikan kos setakat ini
Projek KSSA ikut jadual, tiada kenaikan kos setakat ini
Projek KSSA ikut jadual, tiada kenaikan kos setakat ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) kini mencapai kemajuan 9.16 peratus dan berjalan mengikut jadual dengan nilai komitmen kekal pada RM2.94 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata setakat ini tiada sebarang permohonan kenaikan kos daripada kontraktor, sekali gus memastikan nilai kontrak asal projek kekal.

“Memang ada ura-ura kos akan meningkat tetapi buat masa ini belum ada sebarang permohonan daripada kontraktor… jadi kontrak asal tetap dikekalkan.

“Perkara ini banyak elemen contohnya apabila melibatkan bahan binaan dan faktor seperti kenaikan harga diesel yang boleh memberi kesan rantaian kepada kos lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di Seksyen 17 di sini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 (GRS 2.0), hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan Pelancaran Program Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 (GRS 2.0) di Seksyen 17, Shah Alam pada 5 Mei 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis tersebut yang turut menyaksikan pelancaran program GRS 2.0.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata pihaknya memantau perkembangan semasa termasuk konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global, namun sasaran menyiapkan projek kekal pada Mei 2029.

“Kerja dilaksana melibatkan fasa awalan sebagai persediaan sebelum pembinaan utama dimulakan dan setakat ini 9.16 peratus, mengikut tempoh ditetapkan.

“Fasa seterusnya bermula selepas kontrak perjanjian pembinaan projek pembangunan (DPCC) atau kontrak definitif ditandatangani. Jadi, pembangunan KSSA mengikut jadual dan dijangka siap Mei 2029,” katanya.

Projek pembangunan KSSA dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, dengan fasa pertama melibatkan kerja perobohan.

Fasa kedua pula merangkumi pembinaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia yang dijangka bermula pertengahan 2027.

Manakala fasa terakhir melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijangka bermula Januari 2028 hingga Disember 2029.

KSSA bakal dilengkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan awam termasuk kawasan rekreasi, selain komponen komersial dengan pembahagian 40 peratus kawasan rekreasi dan 60 peratus kemudahan sukan seperti gelanggang tertutup, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara dan ruang jualan.

Pembinaannya turut mengambil kira faktor seperti risiko banjir serta keperluan stadium bertaraf antarabangsa dengan kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton, selain mampu menganjurkan pelbagai acara termasuk konsert.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.