SHAH ALAM, 5 MEI: Seorang lelaki yang sebelum ini disiasat kerana memukul isterinya hingga keguguran kini berdepan satu lagi siasatan selepas dipercayai menanam janin di sebuah tanah perkuburan di Alor Setar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 43 tahun itu mendapati lelaki berkenaan mengaku dan menunjukkan lokasi janin tersebut ditanam pada Khamis lalu.
Katanya, janin berkenaan merupakan kandungan isterinya yang berusia 12 minggu, yang gugur selepas mangsa dipukul dalam kejadian di Ambangan Heights, Sungai Petani pada 2 April lalu.
“Khamis lalu, polis membawa suspek bersama isterinya iaitu mangsa berusia 39 tahun untuk menunjukkan lokasi janin itu ditanam.
“Kita turut membawa pasukan dari Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk menggali lokasi itu dan menemui janin tidak sempurna pada tisu kering,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, hari ini seperti dilapor BH.
Adzli berkata, sampel yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut dan polis akan membuka kertas siasatan jika disahkan ia adalah janin manusia mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Kita juga meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa suspek untuk tampil membantu siasatan berhubung perbuatan lelaki ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.
Mangsa yang juga penjawat awam kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani akibat kecederaan dialami.
Difahamkan, mangsa ditumbuk, ditendang serta dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir sehingga mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk kanan dan kiri, patah tulang belakang, selain bengkak dan luka di seluruh badan.
Susulan kejadian, suspek ditahan polis di sebuah inap desa di Alor Setar pada 28 April lalu sebelum direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.








