Masalah teknikal: Jemaah haji penerbangan KT051 berlepas ke Jeddah awal pagi esok

5 Mei 2026, 1:20 AM
Masalah teknikal: Jemaah haji penerbangan KT051 berlepas ke Jeddah awal pagi esok

MAKKAH, 5 MEI: Sebanyak 278 jemaah haji Malaysia bagi penerbangan KT051 yang mendarat di Muscat, Oman, susulan isu teknikal pesawat dijadual meneruskan perjalanan ke Jeddah awal pagi Rabu dengan menaiki pesawat alternatif.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, penerbangan yang disediakan AMAL by Malaysia Airlines itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Muscat pada 6 Mei, 3 pagi (waktu Oman).

Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada 5.10 pagi waktu Arab Saudi, hari yang sama.

Menurut TH, semua jemaah yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.

“Petugas daripada pihak AMAL by Malaysia Airlines juga telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan dengan kadar segera bagi memantau keadaan semasa serta memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Pesawat MH8110 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah terpaksa melakukan pendaratan di Muscat pada 4.11 petang semalam waktu tempatan susulan isu teknikal.

TH sebelum ini memaklumkan pendaratan itu dibuat sebagai langkah keselamatan standard, dan semua jemaah berada dalam keadaan baik serta tidak terjejas.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.