SHAH ALAM, 4 MEI: Dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam tengah hari tadi.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Cik Hamdan Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi.
"Kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Perodua Kancil yang bertembung dengan Perodua Axia.
"Pemandu kedua-dua kenderaan berusia 39 dan 21 tahun masing-masing tersepit pada bahagian pemandu.
"Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.








