Belum ada calon pengganti MB Negeri Sembilan, fokus selesai krisis adat

4 Mei 2026, 6:46 AM
Belum ada calon pengganti MB Negeri Sembilan, fokus selesai krisis adat

SHAH ALAM, 4 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) belum memutuskan pengganti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan krisis perlembagaan yang melibatkan institusi adat dan kepimpinan negeri itu.

Naib Presidennya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemelut membabitkan jawatan Undang dan adat perpatih perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan berkaitan pentadbiran negeri dibuat.

“Setakat ini kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk saudara Aminuddin meneruskan pentadbiran.

“Tapi hal itu masih lagi di peringkat perbincangan kerana masalah yang berlaku itu harus ditangani sama ada dalam perlembagaan dan juga urusan adat Negeri Sembilan yang saya tidak boleh campur.

“Jadi urusan itu adalah tentang kewujudan Undang dan juga kewujudan Yang di-Pertuan (Besar), barulah jawatan Menteri Besar, keesahan tentang kerajaan itu akan dapat ditentukan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri EXCO Sumber Manusia V Papparaidu di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 4 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata KEADILAN komited untuk menyelesaikan isu berkaitan pentadbiran negeri bersama semua pihak, selain berharap krisis perlembagaan Negeri Sembilan dapat ditangani secara berhemah.

“Jadi perkara itu harus diselesaikan dengan musyawarah dengan semua pihak sebagaimana yang ada dalam perlembahaan. Kita harus bekerjasama untuk selesaikan isu ini,” katanya.

Krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan tercetus susulan pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong pada 17 April lalu.

Susulan itu, empat Undang Luak pada 19 April lalu mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Dalam perkembangan berkaitan, 14 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bulan lalu turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Aminuddin, berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.