Dakwaan bapa seorang suspek kes 61 tikaman pesara polis tidak benar, siasatan telus

4 Mei 2026, 3:02 AM
Dakwaan bapa seorang suspek kes 61 tikaman pesara polis tidak benar, siasatan telus

SHAH ALAM, 4 MEI: Polis menegaskan tiada unsur pengaruh atau ‘kabel besar’ dalam siasatan kes pembunuhan seorang penuntut kolej yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Padang Simah, Ketereh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan bapa kepada salah seorang suspek sebagai pesara pegawai polis adalah tidak benar.

"Apa yang tular mengatakan pesara pegawai polis selain ada yang maklum mempunyai 'kabel' besar adalah tidak benar sama sekali.

"Kita menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini dan berharap pihak luar tidak sesuka hati memuat naik maklumat yang tidak betul.

"Pada masa sama saya meminta orang ramai tidak mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan. Apa yang pasti siasatan menyeluruh sedang dijalankan, tidak wujud soal 'kabel' besar atau sebaliknya," katanya seperti dilapor BH.

Beliau menjelaskan, bapa kepada suspek sebenarnya merupakan pesara di sebuah agensi kerajaan lain.

Terdahulu, media sosial dibanjiri dakwaan bahawa bapa kepada salah seorang remaja lelaki yang ditahan adalah pesara pegawai polis selain mempunyai pengaruh besar.

Dalam perkembangan berkaitan, dua warga emas berusia 60 dan 66 tahun yang sebelum ini direman tiga hari telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Difahamkan, kedua-dua mereka merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek remaja lelaki yang ditahan berhubung kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di lokasi kejadian dengan 61 kesan tikaman di seluruh badan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurut beliau, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama 'SYAA', seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.