KUALA LUMPUR, 4 MEI: Tiga lelaki warganegara Yaman berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang mandi di Air Terjun Sungai Kedondong Batang Kali, di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.12 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
Ahmad Mukhlis berkata enam anggota penyelamat dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu diarahkan ke lokasi.
"Dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang lagi cedera pada bahagian tangan dan berada di tepi tebing setinggi tiga meter, namun berjaya diselamatkan oleh pihak bomba," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata semua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.








