SHAH ALAM, 3 MEI: Suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan dipandu seorang lelaki disyaki mabuk di Jalan Ampang, berhampiran Hospital Gleneagles, Ampang.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.34 pagi semalam, penunggang motosikal berusia 61 tahun dan isteri berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, lapor Berita Harian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan, lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.
"Akibat daripada perlanggaran berkenaan, kedua-dua pasangan suami isteri berkenaan cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu kereta dan penumpang hadapan berusia 23 tahun cedera di kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Pemandu disyaki mabuk tetapi masih menerima rawatan di HKL. Polis sudah mengambil sampel darah dan air kencing untuk dihantar ke Jabatan Kimia. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai atau saksi kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau tampil ke balai polis berhampiran.








