Tumpahan minyak sawit di Pelabuhan Klang terkawal, tidak jejas Sungai Klang

3 Mei 2026, 2:00 PM
Tumpahan minyak sawit di Pelabuhan Klang terkawal, tidak jejas Sungai Klang
Tumpahan minyak sawit di Pelabuhan Klang terkawal, tidak jejas Sungai Klang
Tumpahan minyak sawit di Pelabuhan Klang terkawal, tidak jejas Sungai Klang

SHAH ALAM, 3 MEI: Tumpahan minyak sawit susulan kemalangan lori tangki di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang semalam tidak menjejaskan sumber air, menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

LUAS menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihaknya segera ke lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 petang bagi menjalankan semakan termasuk mengenal pasti potensi risiko terhadap Sungai Klang.

“Semakan LUAS mendapati terdapat sedikit kuantiti tumpahan minyak yang mengalir ke dalam longkang berhampiran kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah kawalan, LUAS memaklumkan pasukannya meletakkan bahan penyerap minyak (oil pad) di aliran tumpahan serta memasang penghadang minyak (oil boom) di kawasan longkang bagi mengelakkan penyebaran.

“Pemerhatian lanjut mendapati keadaan di tapak adalah terkawal serta tiada risiko terhadap sumber air dan tiada sebarang loji rawatan air (LRA) di sepanjang aliran terlibat,” menurut hantaran itu.

LUAS turut memaklumkan sampel minyak telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut.

Dalam masa sama, pihak berkuasa itu merakamkan penghargaan kepada Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas kerjasama dalam melaksanakan kerja mitigasi dan pembersihan di lokasi kejadian.

Terdahulu, media melaporkan sebuah lori tangki minyak sawit terbalik dan menumpahkan bahan komoditi berkenaan di atas jalan raya menghala ke Bandar Sultan Suleiman, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S. Vijaya Rao berkata pada kira-kira 1.55 petang lori terbabit yang dari Rantau Panjang, Klang sedang menuruni jambatan sebelum kunci tangki tercabut daripada kepala lori, sehingga menyebabkan tangki jatuh di lorong kiri susur lebuh raya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.