MPS akan perluas penggunaan CCTV tangani pembuangan sampah haram

3 Mei 2026, 3:06 AM
MPS akan perluas penggunaan CCTV tangani pembuangan sampah haram
MPS akan perluas penggunaan CCTV tangani pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 3 MEI:  Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merancang memperluas penggunaan televisyen litar tertutup (CCTV), sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi menangani isu pembuangan sampah haram dan masalah sisa berulang di kawasan pentadbirannya.

Menurut laporan The Star, Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata cadangan itu tercetus hasil bengkel dalaman selama tiga hari bulan lalu yang menghimpunkan pelbagai jabatan MPS, ahli majlis serta KDEB Waste Management (KDEBWM).

Perbincangan sepanjang sesi tersebut memberi tumpuan kepada cabaran praktikal di lapangan serta mengenal pasti penyelesaian merangkumi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Bengkel ini meneliti isu di lapangan dan menghasilkan pelbagai penyelesaian meliputi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam mesyuarat penuh majlis.

Antara langkah yang dicadangkan, Shahman menekankan keperluan memperluas liputan CCTV serta mengintegrasikan sistem itu dengan lebih berkesan ke Pusat Kawalan MPS.

Shahman Jalaludin.jpg

“Antara cadangan utama ialah menambah jumlah kamera CCTV dan mengintegrasikannya ke Pusat Kawalan MPS bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, aspek penguatkuasaan masih berdepan kekangan dari segi tenaga kerja, khususnya mengambil kira jumlah penduduk di bawah pentadbiran MPS.

“Terdapat 700,000 penduduk di Selayang. Tenaga kerja adalah terhad dan kami tidak mampu meliputi semua kawasan dalam perbandaran,” katanya.

Dalam masa sama, pihak majlis sedang menilai kebolehlaksanaan cadangan berkenaan sebelum memutuskan pelan pelaksanaan.

“Satu mesyuarat susulan akan diadakan minggu hadapan bagi memuktamadkan cadangan serta menentukan keperluan bajet untuk pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa selain penguatkuasaan, MPS akan terus memperkukuh usaha kesedaran awam serta menambah baik proses dalaman bagi mengurus isu berkaitan sisa dengan lebih berkesan.

Shahman berkata jumlah aduan meningkat pada suku pertama tahun ini, sebahagiannya disumbang peningkatan penghasilan sisa ketika musim perayaan utama.

“Aduan berkaitan sisa meningkat pada suku pertama tahun ini, didorong antaranya oleh musim perayaan seperti Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Langkah-langkah yang akan dilaksanakan dijangka mampu membendung pembuangan sampah haram serta meningkatkan tahap kebersihan keseluruhan di Selayang.

Data MPS menunjukkan sebanyak 58 kompaun dikeluarkan berdasarkan bukti CCTV setakat Mac tahun ini, berbanding 264 kes tahun lalu dan 501 kes pada 2024.

Setakat ini, unit CCTV telah dipasang di 12 lokasi dikenal pasti sebagai titik panas, termasuk di Rawang, Gombak, Batu Caves dan Taman Selayang Jaya.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 3, Mazlan Musa menggesa kontraktor lantikan KDEBWM meningkatkan penyelarasan bersama ahli majlis tempatan bagi memastikan operasi lebih lancar dan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.