Lubnan kembali bergolak, enam terbunuh dalam serangan Israel

2 Mei 2026, 2:00 PM
Lubnan kembali bergolak, enam terbunuh dalam serangan Israel

ISTANBUL, 2 MEI: Gelombang baharu serangan Israel di selatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang sejak awal Sabtu di tengah-tengah pelanggaran berterusan Tel Aviv terhadap gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.

Satu serangan Israel ke atas bandar Ain Baal di daerah Tyre meragut nyawa seorang dan mencederakan tujuh yang lain, termasuk tiga wanita, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) yang memetik Kementerian Kesihatan.

Satu lagi serangan yang menyasarkan sebuah rumah di bandar Louaizeh di wilayah Iqlim al-Tuffah mengorbankan tiga orang, lapor NNA, sambil menambah bahawa satu lagi serangan ke atas sebuah kereta di jalan Kfardjal-Nabatieh turut membunuh dua individu.

Sementara itu, dua orang awam terkorban dan beberapa yang lain cedera dalam satu serangan Israel yang berlaku “sejurus selepas tengah malam antara Khamis dan Jumaat.” Antara yang cedera ialah Datuk Bandar Shoukin, Hussein Ali Ahmad.

Serangan itu memusnahkan beberapa bangunan kediaman dan menyebabkan kerosakan besar di seluruh kawasan kejiranan berkenaan.

Sebagai tindak balas terhadap serangan balas Hizbullah susulan perang Iran, Israel melancarkan serangan di Lubnan sejak 2 Mac lepas, mengorbankan lebih 2,600 orang serta menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal.

Gencatan senjata selama 10 hari yang bermula pada 17 April lepas kemudian dilanjutkan hingga 17 Mei, namun Israel terus melanggarnya setiap hari melalui serangan udara dan perobohan rumah.

Israel juga mengekalkan apa yang dipanggil sebagai “zon penampan” di selatan Lubnan dengan mendakwa ia untuk mencegah serangan daripada Hizbullah. Gencatan senjata terdahulu telah dicapai pada November 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.