SHAH ALAM, 2 MEI: Beberapa kelab Liga Malaysia termasuk Selangor FC menggesa penubuhan badan pengadil profesional segera dilaksana bagi mengangkat kredibiliti saingan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata penubuhan badan pengadil profesional itu mampu memastikan keputusan di atas padang lebih konsisten sekali gus memperkukuh integriti pertandingan, lapor Harian Metro.
“Sudah tiba masanya kita ada badan pengadil profesional yang berdiri sendiri. Penubuhan badan pengadil perlu disegera jika mahu Liga Malaysia bergerak lebih telus dan diyakini semua pihak.
“ni penting untuk tingkat keyakinan terhadap sistem pengadilan kita dan jika mahu Liga Malaysia jadi penanda aras di rantau ASEAN," katanya selepas menghadiri sesi meja bulat anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama wakil kelab Liga Malaysia baru-baru ini.
Terdahulu, sesi meja bulat itu diadakan berikutan gesaan beberapa kelab yang mahu satu platform rasmi bagi membincangkan isu kritikal termasuk tadbir urus, kewangan dan hala tuju liga.
Antara isu yang terus berulang ialah masalah tunggakan gaji serta peningkatan kos operasi yang semakin menekan kebanyakan pasukan Liga Malaysia.
Johan turut mencadangkan Rakan Kongsi Liga diberi peranan lebih besar dalam struktur tadbir urus liga termasuk penambahan kerusi dalam lembaga pengarah MFL.
“Setakat ini, hanya tiga daripada 10 kerusi diisi wakil kelab dan jumlah ini tidak mencerminkan peranan besar mereka sebagai pemegang taruh utama.
“Seharusnya, wakil kelab diberikan sekurang-kurangnya majoriti, contohnya enam daripada 10 kerusi dalam lembaga," katanya.








