Oleh Angelo Taj
Ilustrasi Muizzah
Ada Limón dalam buku terbarunya, Against Breaking On The Power Of Poetry menyebut “apabila puisi diletakkan sebagai alat kekeliruan, aku meletakkannya kepada takdir.” Satu daripada fakta yang tersenarai dalam krisis kegelisahan zaman adalah kekeliruan identiti. Kita boleh tanyakan kembali kepada diri kita, kita menulis puisi untuk apa? Bukankah puisi itu sendiri tiada definisi yang tepat dan konkrit untuk mentafsirkannya sebagai apa? Walaupun dikumpulkan beratus-ratus penyair terbaik di dalam satu bilik, mereka tidak akan dapat bersetuju atas satu definisi yang sama, tetapi beratus definisi akan terlahir daripada pandangan mereka. Ini menjadikan persoalan asas apa itu puisi dan untuk apa kita menulisnya menjadi pelbagai, dengan variasi pemboleh ubah yang juga pelbagai.
Adakah kita sebagai penyair muda, masih tidak mempunyai sebarang jawapan untuk persoalan asas itu setelah beratus-ratus jam dihabiskan untuk menulis puisi, membaca buku-buku teori, dan menyelinap masuk ke dunia penyair lain? Apakah yang berlaku sekarang sebenarnya? Antara kita menghadapi kekeliruan identiti kepenyairan, atau belum memahami lagi rumus puisi, atau puisi itu sendiri belum mempunyai ruang dan maksud yang jelas dalam kehidupan manusia; kita sebenarnya berada dalam kekeliruan dan ketidaktetapan yang bagaimana? Penting untuk ditanyakan kepada penyair muda di Malaysia, cukupkah hanya bergelar penyair tanpa membahaskan krisis kekeliruan identiti yang dihadapi kebanyakan penyair, dan hanya setuju pada frasa: penyair itu adalah sesiapa sahaja yang menulis puisi, hidup dalam puisi, dan puisinya hidup dalam kehidupan orang lain?
Masalah utamanya adalah kebanyakan penyair muda tidak memahami kewujudan diri mereka dalam dunia kepenyairan sebagai apa, bagaimana, dan mengapa. Mereka wujud dalam satu gelembung yang mudah pecah apabila mereka tidak dapat membezakan antara wujud hanya untuk menulis apa yang orang lain juga boleh tulis, dengan wujud menjadi seorang penulis yang lapar untuk puisi dan sastera, serta menderita dalam kelaparan itu untuk puisinya menguasai dunia. Kita biasa mendengar; “membaca, membaca, membaca, dan menulis, menulis, menulis.” Tetapi pernahkah dalam proses itu kita mendengar; “membina, menghancurkan, menghadam, dan mencintai kesakitan dan kegagalan.” Kekeliruan identiti ini bermula daripada satu permasalahan kecil iaitu ketidakfahaman dan ketidakpedulian kita terhadap proses kepenyairan yang membentuk kefanaan imaginasi terhadap apa itu puisi, kitakah puisi itu, dan puisikah puisi itu.
Secara teori, Ada Limón menyebutkan dalam bukunya; “puisi itu kuasa, kuasa itu pula adalah tembok konkrit yang dibina penulisnya, dan penulisnya pula adalah manusia yang memiliki perasaan yang kompleks.” Maka, apa itu kekeliruan identiti kepenyairan terhadap persoalan “apa itu puisi?” dirumuskan sebagai “penyair yang tidak memahami puisi sebagai satu bentuk perasaan yang lahir daripada dirinya sendiri tetapi tetap menulisnya dalam bentuk kecelaruan, huru-hara pemikiran, dan kepalsuan keseronokan yang membuatkan dirinya wujud dalam dunia keterasingan yang sukar difahami dan tiada jawapan terhadap ketidaktentuannya.” Satu lagi pandangan Ada Limón untuk menyokong pandangan peribadi ini, beliau menyatakan; “puisi itu adalah sesuatu yang menggerakkan kematian kepada kehidupan, tidak menyebabkan kita berasa sunyi, dan menjadi kesaksian penulis itu sedang menyentuh kemanusiaan yang sejagat.” Tidak pula kita mempertanyakan apa itu jiwa atau roh kerana sama seperti puisi ia adalah objek, subjek, dan kepercayaan yang mempunyai tafsiran pelbagai tetapi membawa maksud yang sama iaitu sesuatu yang menggerakkan kehidupan daripada kesunyian atau kematian.
Penyair muda seharusnya dapat membezakan apa yang dibaca dan ditulisnya dengan kefahaman yang perlu membentuk kepenyairannya. Tidak semua penulis puisi ditakdirkan menjadi penyair, tetapi semua penyair dianggap sebagai penyair apabila menulis puisi. Tidak semua penulis puisi dapat memahami apa itu puisi, tetapi semua penyair dapat belajar sesuatu daripada puisi untuk mengelakkan krisis kekeliruan identiti. Sebuah mesin kopi hanya menunggu untuk dihidupkan dan mempunyai arahan manual untuk bekerja, tetapi tidak di dalam dunia kepenyairan dan puisi, kita tidak menghasilkan input dan output apatah lagi hasil identiti dan puisi yang sama. Sudah tentu kopinya juga berbeza, mengikut cita rasa biji kopi, seni kopi, dan jenis kopi yang ingin dinikmati.
Berbalik kepada krisis kekeliruan identiti, terdapat beberapa sebab signifikan yang menjadi permasalahan biasa penyair muda. Gender identiti, personal eksistensi, artistik profesionalisme merupakan hal-hal yang mencengkam dan mengacau-bilaukan penyair muda, bukan saja pemikiran mereka, sudut pandang kehidupan, malah berpotensi membunuh bakat kepenyairan. Gender identiti dalam dunia perpuisian memisahkan peranan penyair dan suara perjuangan mereka dalam menegakkan sesuatu hal berdasarkan jantina. Personal eksistensi pula wujud apabila penyair tidak dapat menjawab persoalan asas “kenapa mereka wujud?” yang menyebabkan mereka tidak memahami siapa sebenarnya mereka di dunia kepenyairan ini. Manakala artistik profesionalisme pula menjangkau persoalan “kejayaan penyair” dan “apa erti seni mereka yang sebenar serta harganya di mata dunia sastera.” Penyair muda sesuai dengan proses kematangan seni perpuisian perlu berfikir mulai sekarang untuk menjawab persoalan-persoalan ini pada masa akan datang. Kehidupan tidak menginginkan sesuatu daripada kita, melainkan kita mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada kehidupan. Begitu juga puisi, puisi tidak menawarkan sesuatu yang akan dibaca oleh semua orang, tetapi puisi memberi kehidupan yang boleh dibaca oleh semua orang - hanya bergantung pada siapa dan masa.
Realiti krisis kekeliruan identiti yang melanda hampir setiap penyair muda termasuk diri penulis sendiri, yang muncul pada tahap awal kepenyairan ini tidaklah pelik dan bukanlah sukar difahami. Bahkan, sebagai sebahagian daripada proses membentuk kepenyairan, krisis ini datang untuk dihadapi, dicari puncanya, dan diselesaikan mengikut kebijaksanaan setiap penyair. Kerana itu Ada Limón menyebut di pertengahan bukunya; “puisi seharusnya wujud sebagai kehidupan yang memperingatkan kita bahawa kita adalah sebahagian daripada realitinya.” Puisi seharusnya difahami sebagai kuasa kata-kata yang menandakan kewujudan kehidupan dan menjawab persoalan siapa aku dan kenapa aku wujud dalam dunia kepenyairan ini. Hidup kita mempunyai arah dan tujuan berbeza, putaran realiti yang tidak sama, dan jawapan-jawapan yang berbeza. Tetapi dalam dunia kepenyairan, kita mempunyai satu persamaan jelas, iaitu puisi adalah seni kehidupan yang sama, dilahirkan daripada peristiwa berbeza, wujud sebagai persembahan figura penulisnya. Berdasarkan pemahaman penulis, krisis kekeliruan identiti penyair muda adalah kegelisahan yang sentiasa berubah-ubah mengikut cabaran waktu, tidak kira sama ada di Malaysia atau pada peringkat sastera global dan persoalan besarnya adalah “sastera itu sendiri apa, pada setiap zaman tersebut?”
Maka, puisi itu kebenaran dan kesakitan. Puisi itu kehidupan yang bercakap tentang kesakitan yang dirasakannya pada ketika itu, dan hanya berkata sesuatu yang benar daripada penulisnya sendiri. Boleh saja hari ini kita menulis tentang perjuangan kehidupan, dan setelah beberapa tahun, puisi itu adalah luka perjuangan bersama yang membenarkan sisi realiti setiap zamannya. Mungkin puisi itu akan diingati sebagai puisi yang menentang atau pemberontakan perasaan, tetapi sebagai kata-kata yang wujud dalam kebenaran, ia adalah kehidupan yang mampu memecahkan tembok kegelisahan zaman.








