EXCO: Pakej PACE tepat waktu, bantu redakan tekanan pasaran buruh Selangor

2 Mei 2026, 10:00 AM
EXCO: Pakej PACE tepat waktu, bantu redakan tekanan pasaran buruh Selangor
EXCO: Pakej PACE tepat waktu, bantu redakan tekanan pasaran buruh Selangor

SHAH ALAM, 2 MEI: Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan tepat pada masanya dalam mendepani tekanan pasaran buruh semasa.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata PACE juga bertindak sebagai ‘penstabil’ kepada pasaran buruh di Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur, antara kawasan paling terkesan sepanjang Mac hingga April susulan tekanan ekonomi semasa.

“Saya percaya Pakej PACE akan memberi kesan positif kerana dalam tempoh Mac hingga April, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mengalami tekanan ketara dalam pasaran buruh.

“Peningkatan kos operasi termasuk logistik dipercayai menjadi antara faktor yang mendorong sebahagian syarikat mengurangkan tenaga kerja, sekali gus memberi kesan langsung kepada pekerja,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari menyampaikan sumbangan duit raya kepada pekerja pembersihan SUK di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Mac 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Mengulas lanjut Anfaal berkata, pelaksanaan PACE membantu mengimbangi tekanan tersebut melalui sokongan bersasar kepada golongan terjejas selain melengkapkan inisiatif bantuan di peringkat persekutuan.

Menurutnya, Selangor dijangka menjadi antara negeri yang menerima manfaat terbesar berikutan skala ekonomi dan jumlah tenaga buruh yang tinggi, khususnya dalam sektor yang sensitif terhadap perubahan kos operasi.

“Pada masa sama, Kerajaan Selangor akan terus menambah baik pakej ekonomi negeri dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto Facebook BERNAMA

Semalam, Anwar mengumumkan PACE bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.

Ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, beliau berkata PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi.

Ia meliputi empat inisiatif utama dan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.