TEHRAN, 2 MEI: Empat belas anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh dan dua lagi cedera pada Jumaat akibat letupan yang berpunca daripada bahan letupan tidak meletup di wilayah barat laut Zanjan, menurut agensi berita rasmi IRNA, lapor Xinhua.
Letupan itu berlaku ketika anggota IRGC sedang menyahaktifkan bahan letupan tidak meletup yang ditinggalkan susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel sepanjang konflik selama 40 hari dengan Iran, menurut laporan itu yang memetik kenyataan Kor Ansar al-Mahdi Zanjan, unit wilayah IRGC.
Ia menambah bahawa letupan maut itu berpunca daripada sejenis bahan letupan yang tidak dikenal pasti, sambil menyatakan semua mangsa terdiri daripada anggota paling berpengalaman, terlatih dan khusus dalam IRGC.
Menurut kenyataan itu, Kor Ansar al-Mahdi telah mengenal pasti dan meneutralkan lebih 15,000 bahan letupan tidak meletup.
Pada 28 Feb, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar lain di Iran, mengorbankan Pemimpin Agung Iran ketika itu Ali Khamenei, beberapa komander kanan serta orang awam.
Iran bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta aset AS di Asia Barat.
Gencatan senjata dicapai antara pihak yang bertelagah pada 8 April.
-- BERNAMA-XINHUA








