Elak pertikaian, pembinaan kuil mesti di tanah milik sendiri - LIMAS

2 Mei 2026, 5:30 AM
Elak pertikaian, pembinaan kuil mesti di tanah milik sendiri - LIMAS
Elak pertikaian, pembinaan kuil mesti di tanah milik sendiri - LIMAS

SHAH ALAM, 2 MEI: Pembinaan rumah ibadat, khususnya kuil, perlu dilaksanakan di atas tanah milik sendiri bagi mengelakkan isu pemilikan dan pertikaian, terutama melibatkan tanah kerajaan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata langkah itu penting bagi memastikan pembangunan rumah ibadat dilaksanakan secara teratur serta mematuhi peraturan yang ditetapkan di kawasan dibenarkan.

Beliau berkata di Jenjarom misalnya, banyak kuil dibina di kawasan perumahan dan ia dibenarkan kerana tanah tersebut dimiliki secara sah melalui pembelian.

“Jika mahu membina kuil, ia perlu didirikan di atas tanah milik sendiri. Walaupun di kawasan perumahan, ia tidak menjadi masalah selagi tanah itu dimiliki secara sah. Kerajaan Negeri boleh membantu dari segi proses dan memberi sokongan.

“Bagaimanapun, pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain atau tanah kosong tanpa kebenaran tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan masalah pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Chitirai, semalam.

Pada 29 April, Papparaidu ketika Sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan berdasarkan rekod pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 688 kuil yang dibina tanpa kebenaran di negeri ini.

Beliau berkata angka berkenaan masih belum dimuktamadkan kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti struktur rumah ibadat yang dibina di atas rizab jalan atau tanah warta di bawah seliaannya.

Selain itu, sebanyak 285 buah kuil berdaftar secara sah sama ada melalui warta dan persendirian di seluruh Selangor sehingga 16 April 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.