Keseimbangan komisen jamin kebajikan pemandu e-panggilan, kelangsungan industri

3 Mei 2026, 3:00 AM
Keseimbangan komisen jamin kebajikan pemandu e-panggilan, kelangsungan industri

SHAH ALAM, 3 MEI: Penetapan kadar komisen yang boleh diambil syarikat e-panggilan perlu disesuaikan dengan realiti pasaran tempatan bagi memastikan kelestarian ekosistem industri tanpa menjejaskan kebajikan pemandu serta daya tahan syarikat.

Presiden Grab Driver Malaysia Association (GDMA), Mohd Azril Mohd Amin berkata model kadar komisen rendah syarikat e-panggilan seperti yang dicadangkan di Indonesia belum sesuai dilaksanakan di Malaysia, mengambil kira perbezaan populasi serta struktur pasaran dan jumlah syarikat yang beroperasi.

Jelasnya, pengehadan kadar komisen pada paras terlalu rendah berisiko menjejaskan operasi syarikat dalam jangka panjang, sekali gus memberi kesan kepada ratusan ribu pemandu yang bergantung kepada platform berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Sehubungan itu, beliau berkata kadar komisen antara 13 hingga 15 peratus dilihat lebih praktikal berbanding purata semasa sekitar 15 hingga 18 peratus, bagi memastikan struktur caj lebih munasabah serta keseimbangan antara keuntungan syarikat dan pendapatan pemandu.

“Bagi saya sebagai pemandu Grab di Malaysia ketika ini, purata komisen syarikat adalah sekitar 15 hingga 18 peratus. Kalau di Indonesia, kita kena lihat populasi dan struktur pasaran. Mereka mempunyai kira-kira 240 juta penduduk dengan hanya beberapa syarikat utama e-panggilan.

“Di Malaysia pula, kita ada sekitar 33 juta penduduk dan kira-kira 35 syarikat pengendali e-hailing. Jadi persaingan lebih tinggi dan margin keuntungan lebih kecil.

“Di Indonesia, operasi lebih tertumpu di lokaliti tertentu sudah memadai untuk menjadikan syarikat berjaya. Berbanding di Malaysia, syarikat perlu bersaing dalam pasaran yang lebih terbuka.

“Kalau sebagai pemandu, sudah tentu saya setuju jika komisen lebih rendah kerana nampak menguntungkan. Tetapi itu hanya untuk jangka masa pendek. Dalam jangka panjang, sukar untuk bertahan jika syarikat tidak stabil. Akhirnya ia juga akan memberi kesan kepada pemandu,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata cadangan komisen 13 hingga 15 peratus dilihat mampu menyeimbangkan keperluan kedua-dua pihak, iaitu pemandu masih menerima pendapatan munasabah manakala syarikat dapat meneruskan operasi secara mampan.

“Pada saya, ia masih munasabah. Tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Masih dalam keadaan seimbang kerana bilangan pemandu juga semakin ramai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan negara itu akan menurunkan had komisen syarikat e-panggilan daripada 20 peratus kepada lapan peratus.

Prabowo dilaporkan telah menandatangani satu peraturan Presiden yang menjadi asas kepada had maksimum komisen baharu tersebut, sekali gus meningkatkan bahagian pendapatan pemandu daripada 80 peratus kepada sekurang-kurangnya 92 peratus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.