KUALA LUMPUR, 1 MEI: Cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara yang dicapai pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 hari ini akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan pendidikan tahfiz dalam arus perdana sistem pendidikan negara dan memastikan pembangunan insan yang seimbang daripada segi ilmu serta akhlak.
“Dalam konteks ini, pendidikan tahfiz tidak boleh terus dilihat sebagai aliran pinggiran. Tahfiz mesti diberikan tempat yang lebih bermakna dalam arus pendidikan negara.
“Kita mahu melahirkan huffaz yang bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi juga huffaz profesional, jurutera huffaz, doktor huffaz, teknokrat huffaz, usahawan huffaz dan pemimpin huffaz," katanya ketika merasmikan Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Kongres yang menghimpunkan lebih 5,000 tokoh akademik, profesional dan mahasiswa itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata pemerkasaan pendidikan tahfiz perlu diangkat sebagai agenda nasional yang lebih tersusun, melangkaui inisiatif sedia ada seperti Pra Tahfiz KEMAS, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.
Selain itu, beliau berkata penyelarasan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pengajian tahfiz di bawah satu kerangka ekosistem yang jelas juga penting bagi memastikan laluan kerjaya yang lebih luas.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata pendidikan mesti berperanan membina kekuatan ekonomi dengan melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta celik teknologi yang mampu mencipta nilai dalam dunia yang berubah pantas.
Mengenai TVET, beliau berkata kadar kebolehpasaran graduan bidang itu kini melebihi 96 peratus berbanding sekitar 80 peratus pada 2020, dengan 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan berkenaan.
Beliau berkata pencapaian itu perlu disokong melalui pembinaan laluan kerjaya yang jelas, pengukuhan kerjasama industri serta penyelarasan latihan yang selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.
Selain melahirkan tenaga kerja, Ahmad Zahid berkata pendidikan harus membentuk warganegara yang memahami sejarah, menghormati Perlembagaan, memartabatkan bahasa Melayu serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menghargai kepelbagaian kaum dan agama.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menggariskan lima fokus pembaharuan pendidikan termasuk pelaksanaan sistem pelbagai laluan yang lebih anjal merangkumi bidang akademik, TVET, tahfiz, digital, keusahawanan, seni, sukan dan inovasi.
Fokus lain merangkumi perluasan akses prasekolah berkualiti di kawasan luar bandar, miskin bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak serta komuniti rentan sejak peringkat awal.
Ahmad Zahid turut mencadangkan pemerkasaan Wakaf Pendidikan Bumiputera sebagai instrumen membiayai biasiswa dan membantu pelajar miskin, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan.
“Dalam sejarah tamadun Islam, wakaf menjadi instrumen besar pembinaan ilmu. Tradisi ini mesti dihidupkan semula untuk membiayai biasiswa, membantu pelajar miskin serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan peranan guru perlu dimartabatkan melalui perhatian terhadap kebajikan, latihan serta beban tugas bagi memastikan hala tuju pendidikan negara kekal inklusif dan progresif.
Terdahulu, Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membentangkan resolusi kongres termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Guru bagi menyusun semula sistem latihan warga pendidik supaya selari dengan keperluan masa depan.








