BANGI, 1 MEI: Semua masjid dan surau di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat serta bacaan doa Qunut Nazilah, bagi mendoakan keselamatan 175 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang diculik oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap GSF 2.0, serta mengikuti rapat perkembangan terkini misi berkenaan daripada Sumud Nusantara Command Center (SNCC).
“Kita telah gerakkan masjid, surau untuk mendoakan secara khusus melalui Qunut Nazilah dan juga solat hajat. Ia bagi mendoakan misi GSF 2.0 serta kesemua (aktivis) termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini kita tidak pasti di mana mereka,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pihaknya masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung status keselamatan 175 aktivis GSF 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia, selepas 38 jam diculik oleh rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Zulkifli berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim konsisten dalam memberikan sokongan penuh terhadap misi GSF 2.0 serta usaha pembebasan Gaza daripada rejim Zionis.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan meneliti bentuk bantuan termasuk sokongan moral yang boleh disalurkan kepada ahli keluarga aktivis atau mereka sendiri.
“Dari segi kami Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita ada beberapa agensi yang bersedia dan kita juga sudah ada inisiatif-inisiatif daripada Global Sumut Flotilla yang lepas dan kita meneruskan kerjasama ini.
“Insya-Allah, kita melihat keperluan itu secara khusus dari semasa ke semasa,” katanya.
10 rakyat Malaysia yang diculik semalam ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Yang turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.










