Kerajaan sasar gaji naik ke RM3,500, perkenal Skim LINDUNG 24 jam

1 Mei 2026, 7:32 AM
Kerajaan sasar gaji naik ke RM3,500, perkenal Skim LINDUNG 24 jam

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan terus memperkukuh agenda kebajikan pekerja apabila menyasarkan peningkatan gaji penengah bulanan kepada RM3,500 menjelang 2030.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata sasaran itu turut disokong peningkatan Pampasan Pekerja kepada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi merealisasikan matlamat berkenaan, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memperkasakan peranan Majlis Perundingan Gaji Negara termasuk menetapkan gaji permulaan untuk siswazah dan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Ini bukan impian. Ini perancangan yang sedang dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Negara” di Kuala Lumpur hari ini seperti dilapor BH.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan Menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan memaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melaksanakan Skim LINDUNG 24 Jam bermula Jun ini yang dijangka memberi manfaat kepada 9.6 juta pencarum.

"Golongan pekerja ini akan dilindungi sepanjang masa, bukan hanya semasa bekerja. Jika kemalangan berlaku di luar waktu kerja pun, mereka tetap dilindungi," katanya.

Selain itu, had usia Skim LINDUNG KASIH untuk suri rumah akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 720,000 wanita.

"Suri rumah menjaga anak-anak, orang tua, ahli keluarga yang sakit kerana mereka menyumbang besar kepada negara.

"Sudah tiba masanya kita balas jasa mereka dengan perlindungan yang lebih baik. Ini bukan hanya sekadar polisi, ini adalah janji yang dipenuhi oleh Kerajaan MADANI kepada rakyatnya," katanya.

Dalam usaha memperkukuh sektor berteknologi tinggi, KESUMA turut akan menubuhkan Akademi Semikonduktor KESUMA (ASK) bagi melatih bakat dalam reka bentuk cip serta pembuatan kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu dijangka memastikan bekalan tenaga mahir yang berterusan bagi menyokong pelaburan syarikat global dan memperkukuh rantaian nilai semikonduktor negara.

Pada masa sama, kementerian itu sedang melaksanakan reformasi terhadap 26 undang-undang bagi memastikan kerangka perundangan kekal relevan, adil dan berkesan seiring perubahan dunia pekerjaan.

"Undang-undang yang baik tidak berguna jika rakyat tidak boleh mengaksesnya, justeru KESUMA akan memperkenalkan Mahkamah Buruh Bergerak, sebuah mahkamah yang bergerak ke tempat pekerja berada," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.