SHAH ALAM, 1 MEI: Sebanyak 96 sekolah bakal bersaing untuk merebut kejuaraan bagi kejohanan bola sepak Piala Raja Muda Selangor dan Piala Datuk Mokhtar Dahari edisi 2026.
Membuka tirai bulan ini, saingan melibatkan 32 pasukan bagi setiap kategori iaitu bawah 18 tahun (B-18) dan B-15 bagi kategori Piala Datuk Mokhtar Dahari, manakala kategori bawah B-12 bagi saingan Piala Raja Muda Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Datuk Emran Kadir berkata edisi kali ini menampilkan kelainan bagi kategori bawah 15 tahun.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berhasrat menjadikan kejohanan bola sepak bawah 15 tahun sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Baginda.
"Oleh itu, saya bersama pengarah pendidikan negeri akan menghadap Tuanku dalam masa terdekat untuk mendapatkan perkenan," katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor dan Piala Datuk Mokhtar Dahari 2026.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kejohanan tersebut menjadi medan dalam mencungkil bakat muda dan digilap ke tahap tertinggi.
"Kejohanan ini terbukti menjadi medan penting dalam melahirkan pemain berkualiti dengan ramai pemain beraksi dengan pasukan di seluruh negara, bukan sahaja di Selangor.
"Selalunya setiap kali aksi perlawanan akhir bagi kategori B-18 dan B-15, ada wakil pasukan tertentu datang memantau. Mereka memerhati untuk melihat pemain yang berpotensi untuk dibawa masuk ke kelab masing-masing," katanya.
Tambahnya, kejohanan kali ini mendapat sokongan padu dengan jumlah tajaan kira-kira RM400,000 yang mana penaja utama Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad.
Selain itu, turut tampil sebagai penaja beberapa pihak berkuasa tempatan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).










