SHAH ALAM, 1 MEI: Jabatan Imigresen menahan tiga majikan warga tempatan kerana menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di beberapa lokasi di Selangor.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan di sekitar Petaling Jaya, Telok Panglima Garang dan Batu Caves.
Menurut pihak berkuasa itu, ketiga-tiga pemilik premis didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan tersebut melibatkan perbuatan melindungi, menggaji atau membenarkan PATI berada di premis masing-masing.
“Majikan yang ditahan ialah pemilik restoran di Seksyen 4, Kota Damansara didenda RM10,000, pemilik restoran di Bandar Rimbayu didenda RM16,000 serta pemilik pusat rawatan kesihatan di Medan Selayang didenda RM12,000,” menurut kenyataan di Facebook.
Kesemua kes dibicarakan di Mahkamah Sesyen Khas PATI di Semenyih.
Pihak berkuasa itu menegaskan tindakan akan terus diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang berkaitan.
Orang ramai turut diingatkan tidak melindungi atau menggaji PATI bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.








