Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan

1 Mei 2026, 12:00 AM
Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan
Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan
Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan
Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan
Ekonomi 3 pagi: Wira senyap di sebalik rantaian bekalan makanan

SHAH ALAM, 1 MEI: Ketika kebanyakan rakyat Malaysia masih lena, segelintir pekerja sudah memulakan rutin harian dalam diam, bertungkus-lumus memastikan kehidupan orang lain berjalan lancar tanpa disedari.

Daripada kerja memunggah hasil segar hingga menghantar barangan ke destinasi, mereka menggerakkan proses awal yang memastikan urusan harian masyarakat dapat bermula seperti biasa.

Walaupun tidak bekerja di pejabat berhawa dingin atau berpakaian formal, peranan golongan ini penting dalam memastikan rantaian bekalan dan ekonomi terus bergerak.

Bagi peniaga sayur, Mohd Khairi Abu Samah, 52, memulakan hari seawal pagi bukan pilihan, sebaliknya tanggungjawab untuk menyara keluarga.

Peniaga memeriksa kualiti sayur-sayuran dan buah-buahan supaya hanya produk yang segar dan berkualiti dijual kepada pelanggan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya mula seawal jam 2 pagi. Ini bukan soal motivasi, tetapi tanggungjawab,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di pasar basah Seri Kembangan.

Walaupun berdepan tekanan kerja, Mohd Khairi berkata waktu awal pagi memberi sedikit kelegaan kerana suasana lebih tenang sebelum kesibukan bermula.

“Cabaran terbesar ialah harga sayur yang tidak menentu, naik turun dengan kerap, selain pelanggan yang mahukan harga murah, segar dan berkualiti, satu keseimbangan yang semakin sukar dicapai.

“Kadang-kadang keuntungan terlalu kecil sehingga sukar untuk membayar pekerja,” katanya.

Beliau berkata minat pekerja tempatan untuk bekerja pada waktu awal pagi semakin berkurang, menyebabkan kekosongan itu diisi oleh pekerja asing.

Pekerja mencatat butiran tempahan bagi memastikan setiap urus niaga direkodkan dengan tepat serta sistematik. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Seorang lagi peniaga, Zulkifli Ab Ghani, 45, berkata peranannya lebih banyak di belakang tabir, termasuk menyediakan bahan mentah sebelum perniagaan dibuka.

“Bekalan biasanya disediakan awal supaya semuanya siap sebelum perniagaan bermula,” katanya.

Penggerak di sebalik tabir

Di sebalik kesibukan pasar dan perniagaan awal pagi, terdapat golongan lain yang memastikan barangan sampai tepat pada waktunya ke tangan pengguna.

Pemandu lori, Shahrul Ramlee, 41, memulakan tugas sekitar jam 10 malam hingga 6 pagi, mengharungi perjalanan panjang bagi memastikan penghantaran berjalan lancar.

“Kerja ini berlumba dengan masa. Jika sampai terlalu awal, tiada siapa menerima barang; jika lewat, pelanggan mula menghubungi.

“Keletihan antara risiko utama, terutama memandu pada waktu malam, ditambah keadaan jalan tidak rata, kesesakan dan risiko kemalangan,” katanya.

Pemandu lori, Shahrul Ramlee, 41, mengeluarkan tong berisi tauge dari untuk dihantar kepada pemborong. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Seorang lagi pemandu, Knavaraj Kuppsami, 47, berkata tempoh kerjanya tidak menentu dan boleh mencecah sehingga 12 jam sehari bergantung kepada jumlah penghantaran.

“Dalam kerja ini tiada masa tamat tetap. Kami bekerja sehingga semua penghantaran selesai.

“Setiap hari hampir sama. Ambil barang, ikut jadual penghantaran dan berhenti di pelbagai lokasi sebelum pulang,” katanya.

Walaupun jarang mendapat perhatian, golongan ini terus mengerah kudrat bagi memastikan setiap keperluan harian sampai kepada masyarakat tepat pada waktunya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.