BEKERJA bukan sekadar makan gaji dan mencari rezeki. Setiap pekerjaan, kecil atau besar, datang dengan amanah dan tanggungjawab. Menerima sesuatu pekerjaan adalah sebuah akad antara majikan dan pekerja bahawa setiap sen yang digajikan itu adalah balasan terhadap semua amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan dengan baik.
Sempena Hari Pekerja, pasukan jurufoto Media Selangor merakam potret pekerja dari pelbagai latar belakang, termasuk antaranya yang kurang diberi perhatian, namun mereka adalah nadi kepada kelangsungan masyarakat: polis trafik, doktor gigi, dan renjer hutan sampailah kepada pengawal keselamatan, pekerja pembersihan, dan tukang gali kubur.
Setiap imej ini merakamkan juga kebanggaan mereka pada apa yang mereka kerjakan serta kesedaran mereka terhadap amanah dan tanggungjawab yang mereka pikul. Inilah sedikit upaya kami untuk menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pekerja atas pengorbanan yang mungkin tidak mereka sedari.
Pegawai Penyelidik, Mohd Shahidan Mohamad Arshad, 51, dengan pengalaman 27 tahun, berdepan cabaran mengintegrasikan botani tradisional dengan sains data berteknologi tinggi, menterjemah penyelidikan kepada nilai komersial serta bertindak pantas menghadapi krisis perubahan iklim global. "Berharap pekerja masa depan berjiwa ‘saintis-usahawan’ yang cekap teknologi, mampu menterjemah inovasi kepada ekonomi serta memelihara kelestarian alam," katanya.
Muhammad Khairillah, 35, telah sedekad menekuni bidang pertukangan kayu, satu kerjaya yang menuntut ketelitian, kesabaran dan kemahiran tinggi. Namun, peningkatan kos bahan mentah menjadi cabaran utama yang memberi tekanan kepada kelangsungan kerja harian. "Harap kerja tukang kayu terus dihargai. Saya nak upgrade kemahiran dan satu hari buka kelas untuk anak muda belajar."
Tukang sapu landskap, Maelah Nawaw, 43, sudah tujuh tahun berkhidmat mencantikkan kawasan persekitaran di sekitar Bandar Baru Ampang, Ampang Jaya. Antara cabaran tugasnya ialah risiko membersihkan serpihan kaca dan bendasing tajam di tepi jalan. "Saya harap orang ramai tidak membuang sampah merata-rata. Buanglah sampah di tempatnya," katanya.
Pemandu e-hailing Lalamove, Iman Munir, 28, sudah tiga tahun berkhidmat berdepan cabaran harian seperti cuaca tidak menentu dan kesesakan lalu lintas yang boleh menjejaskan masa penghantaran, selain perlu sentiasa mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dalam setiap tugasan. "Bekerja secara konsisten demi meningkatkan taraf hidup, mencapai kestabilan kewangan dan suatu hari nanti membina perniagaan sendiri," katanya.
Bilal Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang, Mohamad Tahir Sumali, 39, dengan pengalaman 10 tahun, berdepan cabaran menjaga kualiti dan kekuatan suara agar sentiasa jelas, merdu dan konsisten walaupun melaungkan azan lima kali sehari. "Berharap dapat terus mengimarahkan masjid dengan laungan azan yang menyentuh hati dan mengajak umat Islam hadir berjemaah." ujar beliau.
Doktor pergigian, Dr. Mai Mahirah Amir, 38, dari Klinik The Dentist Hub, dengan pengalaman 13 tahun, berdepan cabaran memastikan setiap pesakit berpuas hati dengan rawatan serta mengekalkan perkhidmatan yang konsisten kepada semua. "Berharap masyarakat lebih cakna tentang penjagaan gigi, bukan hanya mendapatkan rawatan ketika sakit, demi kesihatan mulut yang lebih baik," ujar beliau.
Guru Bahasa Melayu, R. Muniswaran, telah 16 tahun berkhidmat. Beliau berdepan cabaran kurangnya minat dalam kalangan pelajar, justeru perlu menggunakan pendekatan seperti cerita naratif, sumber multimedia dan pembelajaran berasaskan projek bagi menarik minat serta meningkatkan kefahaman mereka. "Berharap pelajar lebih berminat untuk mendalami Bahasa Melayu melalui pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif dan interaktif," ujar beliau.
Pekerja pembersihan sampah, Muhamad Rasul Arupiah, yang telah 2 tahun berkhidmat, berdepan cabaran utama iaitu pengurusan sisa yang tidak diasingkan, yang menyukarkan proses kutipan serta pelupusan harian. "Berharap masyarakat lebih bertanggungjawab mengasingkan sisa supaya kerja pengurusan sampah lebih mudah, selamat dan teratur," katanya.
Pekerja butik pakaian, Mohamad Hazim Mohamed Yusof, 32, berdepan cabaran memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai serta mengekalkan kualiti perkhidmatan dalam suasana pasaran yang kompetitif. "Berharap dapat terus meningkatkan kemahiran serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, di samping membuka peluang untuk berkembang dalam industri fesyen," jelasnya.
L/Kpl Wan Muhammad Syakir Wan Mahmud, Polis Trafik Pengiring, dengan pengalaman 8 tahun, berdepan cabaran memastikan kelancaran laluan serta mengiringi pergerakan dif kenamaan agar tiba ke destinasi dengan selamat dan tepat pada waktunya. "Berharap pengguna jalan raya lebih peka dan berhemah apabila mendengar siren serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.
Mekanik wanita, Noor Zahidah Mohamad Arif, di Bengkel Arif Garaj, Sekinchan, berdepan cabaran mengendalikan kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan ketelitian tinggi, selain membuktikan keupayaan dalam industri yang sering didominasi lelaki. "ngin melihat lebih ramai wanita berani menceburi bidang mekanik serta terus meningkatkan kemahiran demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya.
Pemandu bas, Roslan Ramli, 59, dengan pengalaman 22 tahun, berdepan cabaran memastikan keselamatan penumpang sepanjang perjalanan serta tiba ke destinasi mengikut waktu yang ditetapkan. "Berharap masyarakat lebih menghargai perkhidmatan pengangkutan awam serta peranan pemandu dalam memastikan perjalanan yang selamat." katanya.
Tukang gunting rambut, Dann Barbershop, Kuang Selangor, Muhammad Danial Yusuf, 32, sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini, kini memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan serta merancang pembukaan cawangan baharu secara lebih strategik dan mampan. "Terus tingkatkan kemahiran dan kreativiti, bina reputasi kukuh serta kembangkan bisnes hingga mampu buka lebih banyak cawangan dan bantu beri peluang pekerjaan kepada orang lain," katanya.
Pengawal sekolah, Mohd Fazeli Mohd Shafei, bertugas mengawal lalu lintas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Petaling Jaya. Telah 25 tahun menabur bakti, beliau berdepan cabaran utama iaitu kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu pulang sekolah yang memerlukan kawalan lebih rapi demi keselamatan semua. "Berharap pengguna jalan raya lebih berdisiplin ketika waktu puncak persekolahan bagi melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan pelajar terjamin," katanya.