10,000 pelajar terima baucar buku, suburkan minat membaca

2 Mei 2026, 1:00 AM
10,000 pelajar terima baucar buku, suburkan minat membaca

SHAH ALAM, 2 MEI: Pemberian baucar buku Kita Selangor kepada mahasiswa dan pelajar tingkatan enam diteruskan tahun ini melalui peruntukan RM2 juta yang memanfaatkan seramai 10,000 penerima.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata baucar digital dirintis Selangor sejak 2023 bagi memastikan pembelian dibuat untuk buku serta mengelak sebarang ketirisan atau penyalahgunaan bantuan berkenaan.

“Apabila baucar dalam bentuk fizikal, ia mudah terdedah kepada penyalahgunaan. Orang boleh jual balik pada harga yang lebih murah pada orang lain yang mahu beli.

"Setelah saya berhubung dengan Perbadanan Kota Buku, kita berbincang dan rupa-rupanya mereka ada satu pasar digital untuk buku. Dari situlah kita bermula dengan RM200,000 pada 2023 untuk mahasiswa bersama Perbadanan Kota Buku,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap ketika Majlis serahan Bantuan kembali ke sekolah sesi persekolahan 2026 dan serahan bencana ribut bagi DUN Sungai Burong, Kuala Selangor pada 18 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau memberitahu inisiatif tersebut juga memberi manfaat kepada industri buku tanah air kerana ia turut membantu perkembangan industri melalui pelaksanaan program berkenaan.

“Inisiatif itu yang kemudiannya berkembang hingga dicontohi pada peringkat persekutuan dengan pelaksanaan baucar buku digital bersama Perbadanan Kota Buku.

“Di Selangor, ia juga dikembangkan kepada pelajar tingkatan enam setelah kita melihat angka mereka ramai sebenarnya dan inisiatif itu tentunya sangat bermanfaat untuk mereka,” katanya.

Fakta baucar buku. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Kerajaan Negeri meneruskan pemberian baucar buku kepada mahasiswa anak negeri tahun ini bagi menyuburkan minat membaca serta memupuk budaya cinta ilmu dalam kalangan golongan muda.

Inisiatif itu menyaksikan pertambahan bilangan penerima manfaat, daripada 4,000 orang pada tahun lalu berbanding 10,000 mahasiswa kali ini hasil peruntukan keseluruhan RM2 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program itu suatu bentuk pelaburan modal insan dalam melahirkan generasi berilmu, sekali gus kunci kepada kemajuan negeri.

Beliau turut berpandangan pembacaan buku fizikal berupaya membantu mahasiswa untuk meningkatkan tahap tumpuan selain memperkukuh minat terhadap pengetahuan.

Didik Kasih bantu murid kelas pemulihan

Bilangan pelajar yang mengikuti kelas pemulihan di Selangor menunjukkan penurunan kepada kira-kira 17,000 orang pada tahun ini berbanding 25,000 murid sepanjang 2025.

Ahmad Azri percaya Program Didik Kasih (PDK) antara faktor utama kejayaan itu yang menyumbang kepada perkembangan tersebut.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap dalam Majlis Penyerahan Modul Porgram Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 23 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Kita dimaklumkan bilangan murid tahun dua hingga enam di seluruh negeri yang memasuki kelas pemulihan berkurangan daripada 25,000 kepada 17,000 tahun ini.

"Ini menunjukkan langkah intervensi Kerajaan Negeri melalui penyediaan modul PDK selain inisiatif Kementerian Pendidikan menerusi kokurikulum memberi kesan positif," katanya.

Seramai 26,572 pelajar tingkatan empat dan lima di daerah Petaling Perdana menerima modul PTRS manakala 3,128 murid pemulihan tahun dua hingga enam pula menerima modul PDK.

RM1 juta disediakan menerusi Tekad Pendidikan Kita Selangor untuk PDK membantu sehingga 30,000 murid tahun satu hingga enam yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) mengikuti program intervensi literasi dan numerasi.

Internet percuma dua tahun

Selain itu, seramai 1,000 pelajar tingkatan enam dan mahasiswa anak Selangor bakal menerima data internet percuma untuk dua tahun bagu membantu pembelajaran mereka menerusi program Data Internet Selangor melalui peruntukan RM500,000.

Ahmad Azri menjelaskan seramai 500 pelajar tingkatan enam dan 500 mahasiswa baharu institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri, Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) menerima manfaat tersebut.

Katanya, pelajar tingkatan enam menerima peranti WiFi mudah alih yang boleh dikongsi 14 peranti lain manakala mahasiswa UNISEL dan UIS peranti dongle atau peranti modem mudah alih.

“Program Data Internet Selangor beri fokus kepada pelajar selepas mendapati golongan itu antara pengguna paling aktif kemudahan internet yang disediakan sebelum ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.