AI, sistem pintar bakal memacu produktiviti ZIPS

1 Mei 2026, 2:00 AM
AI, sistem pintar bakal memacu produktiviti ZIPS

SHAH ALAM, 1 MEI: Penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi dan sistem akuakultur pintar di bawah cadangan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) berpotensi meningkatkan produktiviti secara ketara.

Bagaimanapun, insisiatif berkenaan juga memerlukan sistem sokongan dan kemahiran yang kukuh, termasuk dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara inklusif oleh komuniti tempatan.

Pengarah Institut Bioteknologi Iklim dan Marin (ICAMB) Universiti Malaysia Terengganu Prof Dr Yeong Yik Sung berkata kemudahan bersepadu seperti hab pemprosesan, pusat logistik, serta unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai industri perikanan Malaysia.

Prof Dr Yeong Yik Sung

“Melalui tumpuan kepada penghasilan makanan laut sedia dimakan (RTE) dan produk bioteknologi berbanding hanya menjual hasil tangkapan segar, industri ini dapat meraih lebih banyak nilai daripada rantaian nilai global.

“Logistik rantaian sejuk yang canggih dapat meminimumkan kehilangan selepas tuaian, manakala pelaburan dalam R&D akan merangsang inovasi dalam kelestarian makanan ikan dan farmaseutikal, sekali gus memastikan makanan laut Malaysia memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti antarabangsa yang tinggi serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan laut.

“Model perniagaan sebegini meningkatkan pembangunan kapasiti industri, memajukan inovasi produk akuakultur di rantau ASEAN, serta mempamerkan amalan terbaik di Vietnam, Thailand dan Indonesia,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) di Sungai Lang, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata penggunaan AI membantu nelayan skala kecil memantau pertumbuhan ikan, kesihatan dan keadaan air, manakala automasi membolehkan sistem akuakultur dikawal dari jauh melalui peranti mudah alih, sekali gus mengurangkan keperluan tenaga kerja manual.

Namun, Dr Yeong menegaskan transformasi ini memerlukan pembangunan kapasiti yang kukuh.

Seiring pandangan itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Illisriyani Ismail yang pakar dalam ekonomi perikanan dan pertanian berkata AI dan sistem pintar boleh meningkatkan pembuatan keputusan dan kecekapan operasi dalam sektor perikanan.

Sebagai contoh, analisis ramalan boleh membantu meramalkan pergerakan bekalan ikan dan keadaan cuaca bagi memperbaiki keputusan penangkapan dan penternakan, manakala automasi dalam penggredan, pengasingan, pembungkusan dan sistem pemberian makanan dapat meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos buruh.

“Sistem akuakultur pintar seperti Sistem Akuakultur Kitar Semula (RAS) dan penggunaan IoT boleh membantu memantau kualiti air, tahap oksigen, suhu serta risiko penyakit secara masa nyata, walaupun teknologi ini masih agak baharu dan mahal, terutamanya bagi penternak berskala kecil,” katanya.

Prof Dr Illisriyani Ismail

Bagaimanapun, Dr Illisriyani menjelaskan penggunaan teknologi ini masih mencabar bagi pemain kecil, sambil menegaskan bahawa komuniti tradisional memerlukan latihan mencukupi, pembiayaan yang mudah diakses serta sokongan teknikal berterusan untuk menyesuaikan diri dengan berkesan.

Pada 25 April, kerajaan Selangor melancarkan tapak ZIPS seluas 242 hektar di Sabak Bernam, yang menurut Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan dilengkapi dengan hab pemprosesan dan logistik, kemudahan rantaian bekalan sejuk beku, serta pusat penyelidikan dan inovasi, bertujuan memperkukuh nilai rantaian bekalan perikanan negeri dari pengeluaran hingga pemasaran.

ZIPS merupakan inisiatif strategik bawah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan akan dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.