Yayasan MBI peruntuk RM1.5 juta untuk ibadah korban Aidiladha

30 Apr 2026, 1:00 PM
Yayasan MBI peruntuk RM1.5 juta untuk ibadah korban Aidiladha

SHAH ALAM, 30 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM1.5 juta bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu akan digunakan untuk pembelian lembu korban sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.

Menurutnya, agihan tersebut diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersama pejabat EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) ketika majlis penyerahan Sumbangan Tunai Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kita tidak ada menganjurkan program khusus tetapi memperuntuk RM1.5 juta untuk pembelian lembu korban. Minggu lalu kita telah lancarkan dan baucar-baucar akan diberikan kepada mereka memohon.

“Permohonan yang dibuat akan diteliti terlebih dahulu dan selain masjid dan surau, turut diagih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan tunai kepada 27 penerima menerusi zakat wakalah di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan peruntukan tersebut akan diagihkan kepada pusat khidmat masyarakat mengikut kuota yang ditetapkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.