Artikel ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan persediaan sebelum kehamilan. Ia tidak menggantikan diagnosis atau pemeriksaan daripada profesional kesihatan. Orang ramai digalak mendapatkan konsultasi dengan pakar bagi penilaian yang lebih sesuai dengan keadaan individu.
Bagi kebanyakan wanita, perjalanan ke arah kehamilan bermula apabila melihat dua garisan pada ujian kehamilan. Namun realitinya, proses ini bermula jauh lebih awal, sebelum kehamilan itu sendiri berlaku. Persediaan sebelum hamil, atau preconception care, bukan sekadar pilihan tambahan. Ia adalah langkah asas yang boleh menentukan kesihatan ibu dan bayi sejak peringkat paling awal.
Sering tidak disedari, minggu-minggu awal kehamilan merupakan fasa paling kritikal. Pada ketika ini, organ penting bayi seperti otak dan saraf tunjang mula terbentuk, selalunya sebelum seseorang wanita menyedari dirinya hamil.
Menurut pakar kesihatan, penjagaan kesihatan sebelum kehamilan dapat mengurangkan risiko komplikasi serius seperti kelahiran pramatang dan berat bayi rendah. Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelahiran pramatang kekal sebagai antara penyumbang utama kepada kematian bayi.
Pada masa sama, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan obesiti dalam kalangan wanita usia reproduktif, yang boleh meningkatkan risiko komplikasi kehamilan, menjadikan persediaan awal satu keperluan, bukan pilihan.
Sehubungan itu, persediaan sebelum hamil bukan hanya tentang meningkatkan peluang untuk mengandung, tetapi memastikan tubuh benar-benar bersedia untuk menyokong perkembangan bayi dengan selamat.
Antara langkah penting termasuk mengawal penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, memastikan pengambilan nutrien mencukupi, serta mengamalkan gaya hidup sihat. Tabiat seperti merokok dan pengambilan alkohol pula boleh memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan reproduktif.
Pengambilan asid folik sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil juga penting kerana ia membantu mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf pada bayi, terutama dalam fasa awal perkembangan yang berlaku dengan sangat cepat
Dalam masa yang sama, kesihatan mental tidak boleh diabaikan. Tekanan berpanjangan, keletihan, dan ketidakseimbangan emosi boleh memberi kesan kepada kesihatan keseluruhan ibu dan perjalanan kehamilan.
Perlu juga difahami bahawa tanggungjawab ini bukan terletak pada wanita sahaja. Kesihatan lelaki turut mempengaruhi kualiti sperma dan kejayaan kehamilan. Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, kurang tidur, dan tekanan berlebihan boleh menjejaskan kesuburan lelaki. Pendekatan yang lebih menyeluruh, melibatkan kedua-dua pasangan, adalah kunci kepada kehamilan yang lebih sihat dan terancang.
Dalam era digital hari ini, tidak kurang juga tekanan untuk mencapai keadaan “sempurna” sebelum hamil. Namun, kesihatan reproduktif bukan tentang kesempurnaan dalam jangka masa singkat, tetapi usaha berterusan untuk memahami tubuh dan membuat pilihan yang lebih baik secara konsisten.
Di sinilah pentingnya mendapatkan nasihat profesional lebih awal. Pemeriksaan kesihatan sebelum hamil bukan sahaja membantu mengenal pasti risiko sedia ada, tetapi juga memberi panduan yang lebih jelas mengikut keadaan individu. Pemeriksaan ini lazimnya ringkas dan boleh dilakukan di klinik atau pusat perubatan berhampiran tanpa proses yang rumit.
Akhirnya, kehamilan yang sihat tidak bermula di klinik bersalin, tetapi daripada kesedaran dan tindakan yang diambil lebih awal. Langkah kecil hari ini mampu menentukan permulaan kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Dr Prakash M. Chandrakanthan ialah pakar obstetrik & ginekologi Sri Kota Specialist Medical Centre







