Yayasan MBI salur RM102,670 zakat wakalah kepada 27 penerima

30 Apr 2026, 9:05 AM
Yayasan MBI salur RM102,670 zakat wakalah kepada 27 penerima
Yayasan MBI salur RM102,670 zakat wakalah kepada 27 penerima

SHAH ALAM, 30 APRIL: Seramai 27 individu menerima bantuan kewangan berjumlah RM102,670 menerusi peruntukan zakat wakalah yang disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor dalam satu majlis di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini, sebagai usaha meringankan beban golongan memerlukan.

Ahmad Azri berkata, zakat wakalah memfokuskan kepada empat golongan asnaf iaitu fakir, miskin, gharimin dan fisabilillah.

“Untuk bantuan kali ini, golongan-golongan ini menerima bantuan disalurkan bagi tujuan perubatan dan pendidikan.

“Walaupun permohonan ini mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses, diharap dapat meringankan beban penerima,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Sayyid Ariffin Abdullah, 37 menunjukkan sampul sumbagan MBI bersama keluarganya selepas majlis Serahan Sumbangan Tunai Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 30 April 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, penerima Sayyidi Ariffin Abdullah, 37, berkata beliau amat bersyukur menerima bantuan bagi menampung kos rawatan anaknya, Sayyidi Zafri, 6, yang menghidap penyakit Cerebral Palsy (CP).

“Anak saya ikuti terapi di hospital swasta yang mencecah ribuan ringgit. Walaupun saya dan isteri bekerja, masih tidak dapat menampung kos terapi anak yang mencecah RM2,500.

“Alhamdulillah, saya dan isteri berbesar hati menerima bantuan dan dapat meneruskan terapi bulan depan, jika tidak kami terpaksa menghentikan terapi untuk anak,” katanya.

Mohd Ikrami Daim, 35, antara penerima bantuan zakat wakalah yang disalurkan kepada 27 individu. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi Mohd Ikrami Daim, 35, bantuan diterima akan digunakan untuk melunaskan yuran pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tertunggak lebih RM6,000.

“Saya amat memerlukan kerana pendapatan tidak mencukupi selain menjaga ibu dan bapa uzur yang menelan kos belanja agak tinggi untuk beli ubat.

“Dengan adanya bantuan ini meringankan beban dan dapat meneruskan pengajian bagi jurusan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Dalam pada itu, Saripah Abd Samad, 56, berkata bantuan diterima akan dimanfaatkan untuk mendapatkan peralatan sokongan bagi anaknya yang mengalami ketidakupayaan intelektual dan fizikal.

Saripah Abd Samad, 56, menerima sumbangan zakat wakalah bagi membantu keperluan anaknya yang kurang upaya. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Anak saya dilahirkan kurang upaya intelektual dan keadaan bertambah teruk apabila jatuh bangunan daripada tingkat lima, mengakibatkan cedera parah pada bahagian pinggang dan kaki.

“Dengan bantuan diterima saya akan gunakan beli alat sokongan untuk berjalan dengan kos RM1,500 berbanding kini bergantung pada walking frame,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.