SHAH ALAM, 30 APRIL: Kegiatan penyalahgunaan dadah dan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di bangunan flat terbiar Bandar Armada Putra, Klang terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Susulan situasi itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian menyeluruh, termasuk meneliti status pemilikan bangunan berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat tersebut akan melibatkan beberapa agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Jika tak diselesaikan punca, sampai bila masalah ini akan berakar umbi.
"Saya juga difahamkan cara pengedaran hari ini juga dibuat secara online sebab itu saya dapat maklumat penduduk dakwa pada waktu malam melihat motosikal berhenti ambil barang dan saya syaki itu barang terlarang.
"Kenapa buat sorok-sorok dan pantas. Saya kira, kita perlu lihat isu pokok untuk tindakan secara tuntas," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, satu operasi Op Perdana dijalankan AADK Selangor dengan kerjasama JIM Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di empat blok bangunan usang berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Hasil operasi itu mendapati seramai 61 warga tempatan disahkan positif dadah.
Dalam pada itu, Azmizam berkata, beliau percaya terdapat pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab mengawal kawasan tersebut sehingga kegiatan penyalahgunaan dadah terus berlaku.
Katanya, walaupun operasi penguatkuasaan kerap dijalankan, masalah berkenaan masih berulang dengan kemasukan penagih baharu.
"Apa yang saya selalu terima ialah aduan berkenaan aktiviti keluar masuk, ada (orang) yang dikenali dan tidak dikenali dan antara aduan ialah salah guna dadah bukan sahaja hisap dadah, tapi mengedar... pihak luar datang ambil barang itu.
"Sebenarnya banyak kali operasi penguatkuasaan di kawasan ini tapi nampaknya tak berkurang, keluar (penagih) yang lama masuk yang baru.
"Ada yang saya kenal dan tidak. Tadi ada seorang makcik yang saya kenal, tak sangka dia terlibat dadah. Ada juga warga asing duduk di bangunan ini tanpa sebarang dokumen," ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.








