SHAH ALAM, 29 APRIL: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai 93 peratus siap setakat April 2026, dengan fasa ujian dan pentauliahan dijadual bermula tahun ini sebelum operasi penuh pada Januari 2027.
Timbalan Pengurus Besar China Communications Construction (CCCECRL), Ye Xiaoyang berkata projek mega itu kekal mengikut jadual tanpa kelewatan, lapor portal Berita RTM.
“Kami berada di landasan tepat. Fasa ujian bagi jajaran Kota Bharu ke Gombak akan bermula tahun ini sebelum operasi dimulakan pada Januari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Dokumentari The Story of Synergy (ASEAN Edition) di Stesen ECRL Gombak, hari ini.
ECRL dijangka menjadi pemacu utama ekonomi negara dengan menghubungkan pantai timur dan barat secara lebih pantas serta efisien.
Projek itu turut dijangka mengurangkan kos logistik, merancakkan perdagangan dan membuka peluang ekonomi baharu di sepanjang jajaran.
Dalam perkembangan sama, kerjasama Malaysia–China terus mengukuh dengan ECRL dilihat sebagai projek strategik yang memperkukuh jaringan perhubungan serantau.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia–China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata ECRL bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya pemangkin pertumbuhan ekonomi lebih luas termasuk di peringkat ASEAN.
“ECRL akan merangsang pembangunan koridor ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan hubungan Malaysia–China dan ASEAN.
“Jika dimanfaatkan sepenuhnya, Kuantan berpotensi muncul sebagai hab perdagangan utama antara Malaysia dan China,” katanya.
Menurut beliau, dalam suasana ekonomi global mencabar, Malaysia terus mengamalkan strategi kepelbagaian pasaran dan rantaian bekalan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi.
Majlis tersebut menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan organisasi dari Malaysia dan China bagi membincangkan hala tuju kerjasama dua hala serta potensi masa depan rantau ini.







