KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Taktik licik sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku terbongkar menerusi serbuan di tiga premis di sekitar Kepong, di sini hari ini, melibatkan rampasan dianggar bernilai RM546,991.50.
Serbuan bersepadu Ops Taring Chiller pada 10.50 pagi itu diketuai oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Pasukan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata serbuan dibuat di tiga lokasi di Taman Usahawan Kepong dan Kawasan Perindustrian Sri Edaran melibatkan restoran dan premis pemprosesan makanan.
"Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik premis serta lima pekerja lelaki warga Myanmar kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Turut dirampas dalam operasi itu adalah 15,205.30 kilogram (kg) karkas babi dan 271.03 kg daging itik sejuk beku disyaki diimport dari negara yang tidak dibenarkan, dengan nilai rampasan daging mencecah RM541,671.50," katanya dalam kenyataan hari ini.
WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman dalam kenyataan sama memaklumkan serbuan itu melibatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, KPDN turut merampas barang kawalan yang disyaki disimpan tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan, iaitu 1,196 kg minyak masak dan 110 kg tepung berserta dua peti sejuk beku.
DBKL pula mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM4,500 terhadap pengurus premis atas kesalahan lesen serta halangan laluan di tempat awam, selain bertindak menyita sebuah daripada premis terbabit.
“Kesemua rampasan sejuk beku telah diserahkan kepada DVS untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Binatang 1953. Kesemua individu yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu.
WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman memaklumkan kejayaan operasi itu secara tidak langsung berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku yang didapati bergerak aktif di sekitar ibu negara.








