KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Penduduk Malaysia mula merekodkan lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan penggunaan pada usia 29 tahun, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tahap lebihan itu mencapai kemuncak pada usia 44 tahun dengan nilai RM14,523 per kapita setahun, sebelum menurun secara beransur-ansur dan kembali mencatatkan defisit pendapatan sekitar umur 56 tahun.
Beliau berkata dapatan itu terkandung dalam Akaun Pindahan Negara (NTA) Malaysia 2022 yang dilancarkan buat julung kalinya hari ini bagi memperincikan aliran ekonomi negara berdasarkan kitaran hayat penduduk.
"Bagi 2022, perbelanjaan penggunaan negara berjumlah RM1.24 trilion manakala pendapatan buruh pula sebanyak RM764 bilion, sekali gus menghasilkan Defisit Kitaran Hayat (LCD) berjumlah RM477 bilion.
"LCD ini dibiayai melalui peruntukan semula berasaskan aset berjumlah RM491 bilion, yang bersamaan dengan 103.1 peratus daripada nilai defisit tersebut," katanya ketika melancarkan NTA tersebut secara dalam talian, hari ini.
Selain itu, beliau berkata purata pendapatan buruh tahunan per kapita pada 2022 sebahagian besarnya disumbangkan oleh pampasan pekerja yang meningkat mengikut umur sehingga mencapai kemuncak pada usia 49 tahun dengan nilai RM48,379.
"Pada usia sama, pendapatan daripada kategori bekerja sendiri turut mencatatkan nilai tertinggi iaitu RM13,042 per kapita," katanya.
Mengenai aspek perbelanjaan, Mohd Uzir berkata purata penggunaan per kapita adalah RM37,947, dengan kumpulan umur 60 hingga 64 tahun mencatatkan perbelanjaan lebih tinggi iaitu RM50,429.
"Golongan warga emas berumur 65 tahun ke atas pula mencatatkan penggunaan RM51,211, manakala perbelanjaan bagi kategori kanak-kanak di bawah usia empat tahun secara relatifnya lebih rendah iaitu RM26,313 per kapita," katanya.
Beliau berkata perbelanjaan isi rumah didorong terutamanya oleh sektor swasta berjumlah RM31,564 per kapita, manakala penggunaan sektor awam RM6,382 per kapita.
“Sektor awam juga menyediakan sokongan bersasar merentas kumpulan umur, khususnya dalam pembiayaan pendidikan bagi kanak-kanak serta memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan bagi golongan warga tua," katanya.
Penerbitan NTA itu menjadikan DOSM sebagai pejabat statistik kebangsaan ketiga di dunia yang menerbitkan laporan seumpamanya selepas Korea Selatan dan Colombia.
NTA merupakan metodologi ekonomi antara generasi yang digunakan untuk mengukur bagaimana sumber ekonomi seperti pengeluaran, penggunaan, pendapatan dan pemindahan dijana serta digunakan merentasi kumpulan umur berbeza.
Rangka kerja itu diadaptasi daripada manual Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menganalisis kesan perubahan demografi terhadap corak pendapatan dan penggunaan masa hadapan.








