MB: BDR bantu jimat petrol, elektrik di Selangor

29 Apr 2026, 5:23 AM
MB: BDR bantu jimat petrol, elektrik di Selangor
MB: BDR bantu jimat petrol, elektrik di Selangor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) di Selangor membantu mengurangkan penggunaan utiliti dan bahan api di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata dasar itu, apabila dilaksanakan dalam keadaan sesuai, berjaya mengurangkan penggunaan elektrik serta utiliti lain, selain penggunaan bahan api.

“Selain itu, tuntutan cuti sakit dan kos rawatan juga menurun hampir 30 peratus sejak BDR dilaksanakan.

“Namun, cabaran utama adalah memastikan kecekapan dan produktiviti kekal. Sebab itu pelaksanaan ini akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid mengenai pelaksanaan kerja fleksibel bagi menangani kesan konflik Asia Barat.

Dasar BDR diperkenalkan semula dan diperluas bulan lalu kepada penjawat awam negeri sebagai langkah segera mengurus kenaikan kos.

Ketika ini, kira-kira 54.4 peratus pegawai dibenarkan bekerja dari rumah secara giliran. Sementara itu, 39.3 peratus tidak layak kerana jarak rumah yang dekat dengan tempat kerja, manakala 15 peratus perlu hadir ke pejabat kerana jenis tugas mereka.

Kerajaan Negeri turut menggalakkan sektor swasta melaksanakan kaedah kerja fleksibel, dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah mula mengambil langkah tersebut.

“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api bagi memastikan bekalan jangka panjang lebih terjamin.

“Pengurangan penggunaan petrol dan diesel akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan tenaga yang lebih cekap termasuk penggunaan tenaga solar bagi mengurangkan penggunaan elektrik secara keseluruhan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.