SHAH ALAM, 29 APRIL: Pemakluman mengenai 688 kuil yang dibina tanpa kebenaran di Selangor dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) minggu lalu adalah berdasarkan rekod pihak berkuasa tempatan (PBT), kata V Papparaidu.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) itu berkata angka berkenaan masih belum dimuktamadkan kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti struktur rumah ibadat yang dibina di atas rizab jalan atau tanah warta di bawah seliaannya.
“Angka ini berkemungkinan meningkat selepas proses pengesahan selesai. Data semasa turut merangkumi struktur kecil seperti pondok sembahyang yang diklasifikasikan sebagai tokong kecil.
“Sehubungan itu, proses pengelasan semula sedang dijalankan bagi memastikan ketepatan pelaporan. Pada masa sama, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk persatuan keagamaan akan diadakan bagi merangka pendekatan lebih tersusun dan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan dianjurkan sekiranya perlu, termasuk melibatkan jawatankuasa LIMAS yang turut dianggotai Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunaraj.
“Sebagai anggota EXCO Negeri, saya berpegang kepada prinsip ketelusan dan bertanggungjawab memastikan fakta yang dibentangkan di sidang dewan adalah tepat serta disampaikan secara berhemah,” katanya.
Terdahulu isu berkenaan mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan.
Minggu lalu, menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas, Papparaidu berkata sejumlah 433 kuil pula dibina tanpa kebenaran di tanah kerajaan manakala 255 di tanah milik dalam tempoh sama.
Berdasarkan inventori pejabat daerah dan tanah di sembilan daerah hingga 16 April, daerah yang merekodkan pendaftaran kuil secara sah di Kuala Selangor sebanyak 103 diikuti Petaling (55), Klang (32), Hulu Selangor (25), Hulu Langat (22), Gombak (19), Kuala Langat (13), Sepang (10) dan Sabak Bernam (6).
“Untuk pembinaan kuil di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, daerah Petaling merupakan tertinggi sebanyak 96 manakala Kuala Selangor (81), Gombak (57), Hulu Langat (55), Klang (45), Kuala Langat (36), Sepang (34), Hulu Selangor (29) dan tiada dibina di Sabak Bernam.
“Selain itu, daerah Kuala Selangor mencatatkan pembinaan kuil di atas tanah milik tanpa kebenaran tertinggi iaitu 126 selain Kuala Langat (38), Sepang (26), Hulu Selangor (22), Klang (20), Hulu Langat (12), Petaling (8), Sabak Bernam (2) dan Gombak (1),” katanya.








