SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri akan memperkukuh Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan inisiatif baharu bagi melindungi sektor perkhidmatan dan pembuatan susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain menangani kos sara hidup, inflasi dan melindungi golongan rentan dalam fasa pertama, tumpuan kini beralih kepada dua subsektor utama yang menjadi pemacu ekonomi negeri.
“Kita cuba menangani perkara pertama adalah berkenaan dengan kos sara hidup inflasi dan juga kumpulan rentan, sama ada kumpulan ini adalah kumpulan yang baru lahir akibat daripada krisis atau pun yang akan lebih parah kerana bekalan barangan yang berkurangan atau pun meningkat dengan sangat tinggi.
“Seterusnya, mengekalkan subsektor utama iaitu dua subsektor penting di Selangor iaitu perkhidmatan dan pembuatan, harus kita pertahankan bersama-sama. Insya-Allah dalam bulan hadapan atau pun mungkin ambil sedikit masa lagi. Pihak Invest Selangor sudah mengadakan perbincangan, kita akan melancarkan pula beberapa inisiatif supaya industri ini dapat dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurutnya, kelangsungan operasi industri pemangkin ekonomi itu amat penting bagi memastikan rakyat terus mempunyai peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang stabil.
“Apabila industri ini kekal berjalan, rakyat masih mendapat peluang pekerjaan dan pendapatan. Inilah yang selalu saya sebutkan kita kena mempertahankan ekonomi yang bermaruah.
“Jika tidak mungkin boleh meningkatkan tindakan luar kawalan, ada yang mungkin mengambil langkah mudah melalui kecurian, rompakan dan perkara lain.
"Hatta paling menyedihkan, di mana negara dan tempat sekali pun, bila krisis yang besar berlaku, akan berlaku penjualan tubuh, memaksimumkan keseluruhan sumber peribadi dan sumber yang ada dengan menjual tubuh.
“Kita berharap, tidak sampai ke tahap yang parah itu, sebab itu kita harus mempertahankan industri yang juga subsektor ini sangat berhasil sekarang ini,” katanya.
Amirudin menambah, beliau mengalu-alukan cadangan daripada semua wakil rakyat untuk memperkukuhkan lagi inisiatif sedia ada, serta memastikan pelaksanaan langkah menangani cabaran ekonomi semasa lebih berkesan.








