SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor merancang pembangunan hab industri aeroangkasa di Sepang bagi memperkukuh transformasi ekonomi serantau menerusi inisiatif Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS).
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata projek strategik itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dan SD Guthrie Berhad.
Menurutnya, pembangunan yang dicadangkan melibatkan kawasan seluas 1,011.7 hektar di Ladang Sepang, berhampiran KLIA Aeropolis.
"Dengan memanfaatkan keupayaan institusi dan kepakaran industri, inisiatif ini dijangka dapat menyediakan keupayaan aeroangkasa bersepadu yang disokong oleh infrastruktur pintar dan mampan.
"Projek ini dirangka untuk menyokong industri bernilai tinggi termasuk logistik sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang lebih luas dan pelbagai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBI Selangor dan SD Guthrie Berhad di Courtyard by Marriott Setia Alam di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadzli berkata pembangunan tersebut akan merangkumi taman perindustrian bersepadu yang dilengkapi komponen komersial serta kawasan kediaman.
Tambahnya, projek itu dijangka memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang selain menjadi destinasi pelaburan utama, selaras dengan objektif Rancangan Selangor Pertama 2021–2025 (RS-1).
"Ia akan melengkapkan fasa pertumbuhan seterusnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta memperkukuhkan daya tarikan negeri kepada pelabur global.
"Langkah ini juga dijangka mampu mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030 hasil daripada pembangunan perindustrian yang bersepadu," katanya.








