Kos PBT meningkat, Selangor jamin tiada kenaikan cukai taksiran

29 Apr 2026, 6:00 AM
Kos PBT meningkat, Selangor jamin tiada kenaikan cukai taksiran

SHAH ALAM, 29 APR: Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan menaikkan kadar cukai taksiran secara drastik walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) berdepan peningkatan kos operasi sehingga 20 peratus susulan kenaikan harga tenaga dan bahan api.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata tekanan kos itu memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan PBT yang terpaksa menyesuaikan semula perbelanjaan selepas belanjawan tahunan dirangka lebih awal.

“Sudah tentu kenaikan ini memberi kesan kepada kantung kewangan PBT kerana perancangan bajet dibuat lebih awal. Bila berlaku lonjakan kos tenaga dan diesel, ia mengubah struktur perbelanjaan sedia ada.

“Kita tidak akan ambil langkah drastik menaikkan kadar kepada pembayar cukai. Sebaliknya kita akan cari jalan untuk menyerap kos ini sebaik mungkin,” katanya dalam temu bual bersama Selangor FM menerusi rancangan Teh Tarik Kopi O.

Menurutnya, peningkatan kos antara 15 hingga 20 peratus itu melibatkan pelbagai komponen utama termasuk pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan infrastruktur, kerja landskap serta operasi logistik harian.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, Suee Lim berkata PBT akan memberi tumpuan kepada langkah penjimatan dengan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti kos logistik, penganjuran program di hotel, perbelanjaan pentadbiran serta menghadkan perjalanan ke luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri sedang mempertimbang supaya PBT menyerap sebahagian kos kenaikan diesel mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Malah, beliau mengakui terdapat keperluan tambahan sekitar RM4 juta bagi memastikan kelancaran operasi 850 unit ‘arm roll’ (RORO) yang digunakan untuk kutipan sampah di seluruh negeri.

“Jika PBT tidak mampu membantu syarikat pengurusan sisa, KDEB Waste Management (KDEBWM) kebimbangan utama adalah gangguan terhadap operasi kutipan dan pembersihan awam.

“Jadi, kita akan meneliti mekanisme lain termasuk kemungkinan menyalurkan dana tambahan daripada peruntukan negeri sendiri bagi menampung keperluan RM4 juta tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM, Dato’ Ramli Mohd Tahir sebelum ini memaklumkan pihaknya akan memanggil pemegang taruh bagi membincangkan isu kenaikan kos diesel yang memberi tekanan besar terhadap operasi kutipan sisa di negeri ini.

Beliau berkata perbincangan itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik bagi menampung peningkatan kos operasi walaupun pendapatan syarikat kekal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.