Polis mohon bantuan INTERPOL kesan pengasas eHati dan suami

28 Apr 2026, 7:37 AM
Polis mohon bantuan INTERPOL kesan pengasas eHati dan suami

SHAH ALAM, 28 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan polis antarabangsa (INTERPOL) bagi menjejaki pengasas program motivasi rumah tangga, eHati dan suaminya yang dipercayai masih berada di luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata kerjasama tersebut penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya kedua-dua suspek berjaya dikesan pihak berkuasa di mana-mana negara terlibat.

"Kita percaya dua suspek masih berada di luar Malaysia dan tindakan sewajarnya sudah diambil pihak polis untuk memastikan jika (mereka) dikesan di negara-negara berkaitan, tangkapan dapat dilakukan," katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Pada 14 November lalu, Shazeli berkata pasangan terbabit dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum sepatutnya berdepan pertuduhan di mahkamah.

Pada ketika itu, mereka dipercayai berada di sebuah negara di Asia Tenggara, namun lokasi sebenar masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.

Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen's Night dalam penganjuran itu membabitkan empat individu yang juga fasilator bagi program.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.