SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor mengguna pakai model pengurusan bandar antarabangsa yang disesuaikan dengan keperluan tempatan dalam usaha menjadi negeri pintar, berdaya tahan dan mampan.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata pendekatan itu menunjukkan komitmen negeri untuk menggabungkan amalan terbaik dunia dengan keadaan sebenar di lapangan.
“Selangor telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk perancangan bandar mampan, tadbir urus pintar, inisiatif berasaskan komuniti serta kerjasama global bagi menyokong pembangunan jangka panjang.
“Antara teras utama ialah Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 yang berpandukan penanda aras antarabangsa seperti Indeks Strategi Bandar Pintar bagi meningkatkan tadbir urus, mempercepat pendigitalan dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) turut diperluas bagi menyokong pembangunan bersepadu di sekitar hab pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan kesesakan jalan raya.
Selain itu, Selangor juga menggerakkan model bandar rendah karbon yang memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, peningkatan kecekapan tenaga serta perlindungan alam sekitar.
Katanya, model ini selari dengan amalan global seperti di Jepun dan Denmark yang menekankan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, bangunan hijau dan sistem mobiliti mampan.
“Penyertaan dalam platform antarabangsa seperti World Urban Forum turut membantu Selangor berkongsi ilmu, menambah baik perancangan bandar dan mengukuhkan keupayaan pembangunan,” katanya.
Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor turut memanfaatkan data dan teknologi digital bagi meningkatkan tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan.
Usaha pembangunan bandar juga kini lebih menekankan kesejahteraan komuniti termasuk inisiatif seperti pertanian bandar dan penggunaan tanah yang lebih efisien.
Suee Lim berkata beberapa PBT turut menjalin kerjasama antarabangsa dengan bandar seperti Bandung, Seoul dan Qingdao bagi berkongsi kepakaran serta memperkukuh pembangunan bandar pintar dan mampan.
Beliau menambah Selangor akan terus memperluas kerjasama global bagi meningkatkan daya saing dan menyokong pertumbuhan bandar secara mampan dalam jangka panjang.








