SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor merekodkan 16,242 pengikrar penderma organ bagi tempoh 2023 hingga tahun lalu, mewakili 27 peratus daripada keseluruhan 58,592 pengikrar di seluruh negara.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata pencapaian itu meletakkan Selangor antara negeri dengan jumlah pengikrar tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat.
Menurutnya, kadar pengikrar di negeri ini adalah 1.43 peratus daripada jumlah populasi penduduk, menunjukkan komitmen rakyat dalam menyokong usaha menyelamatkan nyawa melalui pendermaan organ.
Beliau berkata, Selangor menduduki tempat keempat sekali gus mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen tinggi rakyat terhadap usaha menyelamatkan nyawa melalui amalan derma organ.
“Antara usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bagi meningkatkan kadar pendermaan organ di Selangor adalah melalui pelaksanaan Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Negeri Selangor yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).
“Kempen kesedaran ini yang bertemakan ‘Satu Ikrar, Lapan Harapan’ bertujuan meningkatkan bilangan pengikrar penderma organ melalui pendekatan pendidikan komuniti, sokongan secara atas talian dan penglibatan secara berterusan oleh golongan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Kempen ini turut merangkumi pelaksanaan aktiviti kesedaran di lokasi program Selangor Saring melalui jelajah pameran, edaran bahan penerangan serta pendaftaran pengikrar penderma organ secara terus menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Balakong Ong Chun Wei yang ingin tahu kadar pendermaan organ di Selangor sejak 2023 sehingga terkini.
Menurut Jamaliah, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut komited dalam menyokong agenda nasional bagi memperkukuh sistem pendermaan dan pemindahan organ di Malaysia.
“Walaupun Selangor konsisten merekodkan jumlah pengikrar baharu yang tertinggi, pihak JKNS sentiasa melaksanakan langkah dan usaha strategik bagi meningkatkan kadar pendermaan sebenar termasuk memperkasa peranan Jawatankuasa Teknikal Transplantasi Peringkat Selangor dengan penglibatan aktif semua Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ).
“Selain itu, kelulusan naik taraf Pusat Kecemerlangan Transplan oleh pihak kementerian khususnya melalui perolehan peralatan perubatan bagi meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan,” katanya.








