SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri sedang merangka garis panduan khusus berkaitan pengkuarian mampan di kawasan hutan simpan kekal, selaras dengan pelan strategik Jabatan Perhutanan Negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memastikan aktiviti pengkuarian dilaksanakan mengikut undang-undang selain memelihara kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, setiap pemegang lesen kecil kuari diwajibkan menyediakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum memulakan operasi.
"Setiap pemegang lesen kecil kuari disyaratkan menyedia dan mendapat kelulusan atas laporan EIA yang mengandungi aspek berkaitan kawalan kesan pada alam sekitar.
"Setiap syarat EIA hendaklah dipatuhi dan pemegang lesen perlu mematuhi syarat berkaitan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan saliran dan syarat berkuatkuasa agensi teknikal berkaitan.
"Untuk rekod, kebanyakan masalah sebelum ini bukan sahaja melibatkan alam sekitar tetapi berkaitan jalan masuk kenderaan berat sehingga aktiviti pengkuarian mengalami kelewatan," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Paya Jaras Dato' Dr Halim Tamuri berhubung mewujudkan pelan induk pengoperasian kuari pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan tiada keperluan menubuhkan pasukan tindakan khas melibatkan agensi berkaitan berhubung operasi pengkuarian.
"Setakat ini, kita tidak mewujudkan pasukan khas yang libatkan agensi berkaitan kerana merasakan dengan garis panduan pengkuarian mampan diterbitkan Jabatan Perhutanan mampu mengawal operasi pengkuarian.
"Kerajaan Negeri harus merangka program pengkuarian kerana perlu mencapai titik keseimbangan antara pengeluaran batuan untuk pembangunan dalam negeri dan kelestarian alam sekitar," katanya.











