SHAH ALAM, 28 APRIL: Dua wanita termasuk seorang pesara guru kerugian lebih RM1.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 60 dan 42 tahun mengalami kerugian RM1.01 juta dan RM431,000 dalam kejadian berasingan di daerah Kuantan dan Raub.
Beliau berkata, kes pertama membabitkan pesara guru yang menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil syarikat jualan dalam talian sebelum talian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 6 September 2024.
“Mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta penjualan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada penjenayah.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat laporan polis melalui panggilan telefon dan merakam suara mangsa sebagai kononnya pengakuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Menurutnya, mangsa turut diugut dengan dua pilihan sama ada ditahan atau menyerahkan semua harta miliknya.
Akibat ketakutan, mangsa melakukan 122 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank dari 6 September 2024 hingga 5 April lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,014,000.
“Mangsa juga diarahkan melapor diri enam kali sehari serta dilarang memaklumkan perkara itu kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, kerugian itu melibatkan simpanan peribadi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil penjualan rumah, wang persaraan, pinjaman peribadi serta gadaian barang kemas.
Dalam kes kedua, seorang guru di Raub menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai syarikat insurans sebelum disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 2 Februari lalu.
Mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 selain kes pengubahan wang haram dan rasuah.
“Mangsa diarahkan mengisytiharkan akaun bank serta menukar nombor telefon bagi tujuan perbankan Internet sebelum membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun dikawal suspek,” katanya.
Menurutnya, wang itu kononnya bagi tujuan pengurusan kes dan bayaran jaminan mahkamah.
Akibatnya, mangsa mengalami kerugian RM431,000 melibatkan simpanan peribadi, pinjaman dan pajakan barang kemas.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.








