Taman Reka Bentuk IC Selangor ambil 302 jurutera, 80 peratus graduan baharu

27 Apr 2026, 2:43 PM
Taman Reka Bentuk IC Selangor ambil 302 jurutera, 80 peratus graduan baharu
Taman Reka Bentuk IC Selangor ambil 302 jurutera, 80 peratus graduan baharu

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan apabila berjaya mengambil 302 jurutera setakat ini, dengan jumlah itu disasar meningkat kepada 400 menjelang akhir tahun.

Inisiatif strategik yang diterajui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan sokongan Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri itu kini berada di landasan untuk melepasi sasaran awal petunjuk prestasi utama (KPI) tahun ini.

SIDEC memaklumkan kira-kira 80 peratus daripada jurutera yang diambil bekerja terdiri daripada graduan baharu, mencerminkan usaha membangunkan bakat generasi baharu dalam industri semikonduktor.

Pada masa sama, syarikat dalam ekosistem tersebut terus mencari tenaga profesional berpengalaman bagi memperkukuh keupayaan teknikal masing-masing.

Katanya, setakat ini sebanyak 15 syarikat beroperasi di taman berkenaan merangkumi sektor pusat data, automotif dan aeroangkasa.

"Pencapaian penting ini bukan sekadar kejayaan pengambilan pekerja. Ia menandakan kekuatan ekosistem semikonduktor Malaysia yang semakin kukuh dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap Selangor sebagai pangkalan untuk reka bentuk dan inovasi cip canggih," katanya dalam kenyataan.

Menurut SIDEC, inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi negara untuk beralih daripada pendekatan "Buatan Malaysia" kepada "Jenama Malaysia" melalui pengukuhan harta intelek domestik dan pembangunan teknologi bernilai tinggi.

Antara pencapaian utama dalam ekosistem ini termasuk kerjasama Maistorage dengan NASA, kejayaan Weeroc Space dalam fasa tapeout, kemajuan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) SkyeChip serta pelancaran CL1 oleh Cortical Labs bersama DayOne Data Centres.

Bagi memperkukuh pembangunan bakat, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) telah melatih 360 pelajar setakat ini, manakala Program Pendidikan Semikonduktor Kebangsaan melibatkan 100 pelajar.

Selain itu, ASEM turut memperluas pembangunan bakat melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bersama Khazanah Nasional Berhad serta kerjasama latihan antarabangsa dengan IIT Madras.

Perkongsian strategik bersama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan CREST menerusi program SemiconStart dan MyChipStart juga membantu mengembangkan ekosistem daripada peringkat latihan hingga pengkomersialan.

Dalam usaha menangani kekurangan bakat khusus, ASEM memperkenalkan beberapa intervensi berstruktur termasuk Program Pendidikan Semikonduktor Global (GSEP) serta inisiatif capaian diaspora yang menyasarkan pelajar Malaysia di luar negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.