Selangor perkasa JobCare, tawar kerjaya bergaji tinggi

27 Apr 2026, 10:44 AM
Selangor perkasa JobCare, tawar kerjaya bergaji tinggi

SHAH ALAM, 27 APRIL: Tawaran gaji tertinggi antara RM10,000 hingga RM12,999 direkodkan pada Karnival Kerjaya JobCare Selangor anjuran Kerajaan Negeri, kata EXCO Sumber Manusia.

V Papparaidu berkata ia menunjukkan program itu memberi kesan positif dan membuka peluang pekerjaan bergaji tinggi, terutama kepada individu yang mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam bidang tertentu.

“Pada siri pertama JobCare di Kuala Langat awal tahun ini merekodkan prapendaftaran seramai 567 dengan kehadiran fizikal 289 dan hasilnya, seramai 119 orang berjaya mendapat pekerjaan dan 51 lagi ditawarkan temuduga kedua dengan penglibatan 30 majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Selain itu, katanya Kerajaan Negeri akan memperkukuh kursus pendek yang memberi pengiktarafan kemahiran khusus dan bersama rakan industri.

Berhubung cadangan penubuhan Hindu Endowments Board yang dibangkitkan wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas, beliau berkata Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif tersebut.

“Ia berpotensi memperkemas pengurusan rumah ibadat Hindu termasuk kuil, tanah perkuburan, isu pemindahan serta hal berkaitan agama Hindu di Selangor.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dari aspek perundangan, status pemilikan tanah, bidang kuasa pentadbiran serta sensitiviti komuniti, khususnya melibatkan kuil di atas tanah persendirian.

“Kita boleh merujuk model Penang Hindu Endowments Board, namun pelaksanaannya di Selangor perlu disesuaikan dengan struktur pentadbiran dan kerangka undang-undang negeri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.